Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh berkata dia tiada formula untuk menarik undi Melayu kepada kerajaan perpaduan sepertimana disarankan oleh seorang pensyarah baru-baru ini.
"Saya tiada formula untuk diberikan kerana saya bukan raja formula, tetapi saya ada prinsip yang perlu dipertahankan iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu," katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpendapat kerajaan perpaduan harus memikirkan formula tertentu untuk menarik semula sokongan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Fauzi menegaskan Akmal berjaya memposisikan dirinya sebagai ‘wira’ nasionalis Melayu yang merupakan teras ideologi Umno dan popularitinya boleh dimanfaatkan kerajaan untuk menonjolkan imej nasionalis Melayu dalam gabungan itu.
Dia juga menjelaskan Putrajaya tidak boleh terus bergantung kepada sokongan bukan Melayu khususnya dalam PRK berkenaan memandangkan komposisi kaum pengundi di kawasan DUN terbabit tidak jauh berbeza.
‘Orang Melayu bukan rasis’
Dalam pada itu Akmal mengingatkan kaum bukan Melayu agar tidak sekali menyentuh sensitiviti orang Melayu melibatkan isu agama, kaum dan raja (3R).
"Jangan sesekali sentuh isu sensitif orang Melayu iaitu jangan sesekali sentuh Agama Islam. Jangan sesekali sentuh bangsa Melayu. Jangan sesekali sentuh raja-raja Melayu.
"Kerana selama ini orang Melayu bukan bersifat rasis tetapi hanya mempertahankan hak mereka tanpa mengambil hak kaum-kaum lain.
“Kami boleh berkawan dan memahami dengan sesiapa sahaja tetapi sekali disentuh tiga perkara utama ini, orang Melayu tidak akan berdiam diri. Walaupun menggunakan sesiapa sahaja waima Dr Akmal Saleh pun tidak mampu untuk menarik undi orang Melayu jika ia berlaku," katanya.
Akmal sebelum ini menarik perhatian ramai apabila dilihat lantang mengecam kedai serbaneka KK Mart ekoran penemuan stoking tertera kalimah Allah di tiga premisnya.
Meskipun pemilik syarikat berkenaan memohon maaf dan mendakwa ia satu kesilapan, Akmal tetap bertegas untuk melancarkan boikot terhadap kedai serbaneka tersebut.
Terbaru dia mengecam sebuah pasar raya yang didakwa menjual alas kaki tentera gambar Kaabah.





