Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan eksperimen sosial dengan penubuhan kedai makan yang menawarkan hidangan sarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan harga hanya RM5.
Malah, dia juga memperkenalkan syarikat serbaneka dinamakan Fleximart yang menawarkan barangan runcit bawah harga sama.
Kedai makan itu dinamakan Kesum, gabungan perkataan “kenyang, sedap dan murah”.
Rafizi, anggota parlimen Pandan dan bekas timbalan presiden PKR berkata usaha itu dibuat sebagai usaha menangani kos sara hidup di samping membuka peluang pekerjaan kepada anak muda.

Fleximart akan beroperasi pada 1 November di Seksyen 7, Shah Alam, manakala Kesum bakal dibuka pada 8 November di Pandan Indah, dalam kawasan parlimennya.
“Jika dua eksperimen sosial ini berjaya, kami ada peluang yang lebih baik untuk mengembangkannya kepada lebih banyak cawangan.
“Lebih banyak cawangan dibuka, lebih banyak tawaran harga yang lebih rendah dan lebih banyak anak muda dilatih memiliki dan mengendalikan perniagaan sendiri,” katanya.
Perusahaan sosial adalah model perniagaan yang memecahkan keuntungan kepada penyumbang modal, pekerja dan komuniti.
Lebih banyak keuntungan, lebih tinggi gaji pekerja dan lebih besar jumlah yang dipulangkan untuk mengekalkan harga rendah.
Rafizi mengakui model itu sebagai eksperimen dan tidak pasti sama ada ia akan berjaya.
Namun, katanya, jika berjaya dia akan membuka lebih banyak cawangan.
Sementara itu, Rafizi mengundang orang hadir hadir ke pembukaan kedai itu, yang dia sendiri akan terlibat menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Insya-Allah saya akan buat kopi, sediakan makanan dan menjadi sebahagian dari kru Fleximart dan Kesum pada hari itu,” katanya





