Parti Muda – yang sedang berusaha mempertahankan kerusi tunggalnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang – menyambut baik sebarang usara perbincangan dengan parti Bersama.
Menegaskan bahawa Muda sedang mengadakan rundingan dengan parti pembangkang lain bagi mengelakkan pertembungan, presidennya Amira Aisya Abdul Aziz berkata mereka tidak menolak untuk berunding dengan mana-mana parti pembangkang yang berpegang kepada “prinsip progresif”.
“Jika Bersama mahu berbincang dengan kami, pintu kami terbuka, mereka hanya perlu menghubungi kami.
“Muda mempunyai hubungan baik dengan PSM (Parti Sosialis Malaysia) dan Pejuang.
“Kami sudahpun memulakan perbincangan dengan mereka (tapi) bukan mengenai kerusi, tetapi berkaitan isu dan dasar di Johor,” kata Amira Aisya pada sidang media di Ibu Pejabat Muda di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, sudah mengumumkan parti itu akan bertanding dalam PRN Johor dengan bekas menteri terbabit memulakan siri jerayawara Jelajah Kancil di negeri berkenaan malam ini.
Amira Aisya yang merupakan satu-satunya wakil Muda dalam DUN dan penyandang kerusi Puteri Wangsa turut menegaskan bahawa tiada mana-mana kawasan yang boleh dianggap sebagai “kerusi selamat” bagi mana-mana parti.
“Tiada parti boleh merasakan ia berhak terhadap mana-mana kerusi, itulah pegangan kami. Sebab itu, sejak awal lagi, apabila parti besar berkata ‘ini kerusi kami’, kami anggap itu sebagai satu ketidakadilan kepada rakyat.
“Kami tidak menganggap mana-mana kerusi sebagai kerusi selamat, tetapi kami akan berusaha mempertahankan kerusi Puteri Wangsa,” katanya.
Bertanding 7, menang 1
Memberi isyarat bahawa Muda mungkin akan meletakkan calon di kerusi lain, Amira Aisya menambah Ketua Penerangan Muda, Rasid Abu Bakar, yang dilantik sebagai pengarah pilihan raya parti itu bagi PRN Johor akan mengumumkan butiran lanjut apabila keputusan dimuktamadkan.
Jawatankuasa pengundian calon Muda, yang akan diketuai naib presiden parti Leben Siddarth bersama rakan sejawatannya Faezrah Rizalman dan Ahmad Zarul Afiq, akan melakukan saringan sebelum sebarang pengumuman calon dibuat.
Ketika dihubungi, Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali, pula berkata parti itu masih belum memuktamadkan senarai calon.
Dia juga memberitahu Malaysiakini, Pejuang sedang mengadakan “rundingan aktif” dengan beberapa parti lain yang dianggap sehaluan dengan prinsip mereka.
Dalam PRN Johor 2022, Pejuang bertanding di 42 daripada 56 keseluruhan kerusi negeri tersebut, menjadikan ia antara parti pembangkang terbesar dari segi pengagihan kerusi.
Bagaimanapun, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi.
Muda pula yang meletakkan calon di tujuh kerusi dan berjaya memenangi DUN Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi mengalahkan lima calon lain.

Fokus Muda untuk mengelak pertembungan kerusi kini mungkin berpunca daripada pengalaman mereka pada PRN sebelum ini yang menyaksikan pertembungan dengan PKR bagi kerusi Larkin.
Keadaan itu mencetuskan ketegangan hubungan antara kedua-dua parti untuk tempoh yang lama.
Sementara itu Amira Aisya turut mengecam pembubaran DUN Johor dan Negeri Sembilan sebelum tamat penggal dengan mendakwa keputusan tersebut “merampas hak pengundi” serta mengganggu ahli politik daripada tumpuan kepada kebajikan rakyat.
Katanya orang politik mereka lebih banyak memikirkan jawatan dan kuasa dan berusaha memastikan kemenangan apabila berlaku pilihan raya.

“Mereka lebih mengutamakan strategi politik, manakala rakyat hanya menjadi bidak-bidak dalam percaturan tersebut.
“Ini amat tidak bertanggungjawab. Kami konsisten menyatakan bahawa DUN hanya patut dibubarkan apabila penggalnya tamat,” tambahnya.
Amira Aisya juga menegaskan, kerajaan sepatutnya mengutamakan kebajikan rakyat, bukannya mencari jalan untuk mengalihkan tumpuan kepada kempen pilihan raya.
“Saya juga melihat beberapa pemimpin kerajaan berkata bahawa DUN Negeri Sembilan dibubarkan kerana krisis (yang melanda negeri itu).
“Krisis yang berlaku ialah krisis diraja. Apa kaitan ahli politik dengan raja-raja? Apa yang dilakukan ahli politik sekarang ialah bersembunyi di sebalik institusi diraja (dan) mencemarkan nama institusi diraja semata-mata untuk kepentingan politik,” dakwanya.





