Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Siong mendakwa laman Facebook MCA Johor telah digodam selepas memuat naik kenyataan mempertikai peruntukan berkaitan Islam dan bantuan Malaysia kepada rakyat Palestin.
Ketika dihubungi, Neow menafikan MCA membuat kenyataan kontroversi yang kini telah dipadamkan itu atau mewakili pendirian parti.
“Pertama, hantaran itu sudah tiada lagi. Kedua, sejak semalam, MCA Johor sibuk memuat naik ucapan Tahun Baru Cina. Bagaimana mereka boleh tiba-tiba mengeluarkan kenyataan seperti itu?
“Saya mendesak MCA Johor membuat laporan rasmi kepada MCMC atau polis kerana ini jelas mencemarkan imej MCA,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, MCA Johor memohon maaf atas kejadian tersebut, menyatakan ia berpunca daripada tindakan “tidak disengajakan” bekas pentadbir Facebook yang telah lama bersara dari pejabatparti.
Mereka mengesahkan pentadbir tersebut telah dikeluarkan daripada mengakses laman itu, yang kini dikendalikan sepenuhnya oleh pentadbir baru.
Dalam penjelasannya, Neow menegaskan MCA sebagai sebuah parti sederhana tidak akan pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Akmal tuntut MCA mohon maaf
“Kami memahami sensitiviti dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang tidak sensitif seperti itu.
“Jadi, kami melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius. Tindakan perlu diambil untuk membersihkan nama baik MCA,” tegasnya.

Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, mengecam kejadian tersebut dan menuntut permohonan maaf dalam tempoh 24 jam.
Dia memberi amaran, Pemuda Umno akan lapor polis jika MCA gagal mematuhi tuntutan itu.