PKR akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi memaksa bekas naib presidennya, Zuraida Kamaruddin, membayar pampasan RM10 juta kerana berpaling tadah selepas memenangi kerusi parlimen Ampang buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Peguam parti pemerintah itu, Navpreet Singh, hari ini berkata bahawa mereka telah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan pada 8 Januari lalu.
Katanya, PKR merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Disember tahun lalu yang mengurangkan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Zuraida kepada hanya RM100,000.
Navpreet menambah bahawa dokumen rayuan telah diserahkan kepada pasukan peguam Zuraida, dan mahkamah tertinggi itu telah menetapkan 10 Februari sebagai tarikh pengurusan kes perkara itu.
"Secara ringkas, melalui usul ini, PKR mengemukakan 12 persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah bon daripada RM10 juta kepada RM100,000, sambil memohon untuk mengembalikan jumlah asal," kata peguam itu.
Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan rayuan bekas ahli Parlimen Ampang itu dengan memutuskan bahawa jumlah RM10 juta adalah itu terlalu “membebankan”.
Zuraida sebelum ini adalah ahli veteran PKR, tetapi berpaling tadah semasa “Langkah Sheraton” pada awal 2020, sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas 22 bulan berkuasa.
Bekas setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, kemudian memulakan saman RM10 juta terhadap Zuraida bagi pihak parti selepas dia keluar parti, berikutan kemenangannya pada pilihan raya kerusi Parlimen Ampang pada 2018.
Dalam pernyataan tuntutan, Saifuddin berkata, bahawa Zuraida telah menandatangani bon, dan bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian.
Terma dan syarat bon itu termasuk Zuraida bersetuju untuk membayar parti RM10 juta tidak lewat daripada tujuh hari selepas dia meletakkan jawatan daripada PKR, menyertai mana-mana parti politik lain, atau menjadi wakil rakyat bebas selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR.





