Sekeping resit untuk pesanan piza tular apabila pembelinya meninggalkan kata-kata menghina Islam pada pesanannya, mencetuskan kemarahan dalam kalangan orang Islam yang menelefon dan meninggalkan mesej pada nombor telefon yang tertera di resit itu.
Namun, pemilik nombor telefon itu mendakwa dia tidak bersalah dan telah dianiaya.
Resit itu yang dilihat Malaysiakini menunjukkan “Teoh Weng Foo” membuat pesanan di sebuah restoran piza di Kuching, Sarawak pada 19 September lalu.
Namun, pemilik sebenar nombor telefon itu bernama Lim dan dia tinggal di Ipoh, Perak.
Ketika dihubungi, Lim - yang enggan nama penuhnya dinyatakan - berkata dia menerima panggilan dan mesej daripada banyak nombor tak dikenali.
“Saya penat terima semua mesej dan panggilan WhatsApp.
“Saya sudah buat laporan polis dan harap mereka dapat siasat dengan segera dan pertanggungjawabkan pihak yang melakukannya, kerana ini isu yang sangat sensitif,” katanya.
Lim turut membuat penafian di akaun Facebooknya, serta menyuarakan rasa marah kerana nombor telefonnya telah digunakan untuk membuat pesanan yang disertakan dengan kata-kata menghina itu
Dalam hantaran itu, dia turut mengongsikan salinan laporan polis yang dibuatnya di balai polis Sungai Senam di Ipoh pada 19 September lalu.
Dia juga mengikut nasihat pihak berkuasa untuk melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi mengesahkan siasatan dibuat.
“Kami masih menyiasat perkara ini. Setakat ini, tiada kemas kini baru,” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.





