31.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PAS umum demo ‘Daulat Tuanku’ Sabtu ini

    Shopee Sale

    Pemuda PAS Selangor mengumumkan akan mengadakan demonstrasi anti-DAP dinamakan “Himpunan Daulat Tuanku” di depan pintu masuk bangunan pentadbiran kerajaan di Shah Alam, Sabtu ini.

    Bertemakan baju kuning, perhimpunan pada jam lima petang di depan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu bagi menyatakan bantahan terhadap pemimpin DAP yang didakwa tidak menghormati kedaulatan institusi diraja.

    "Himpunan ini bertujuan untuk menzahirkan kesetiaan mutlak rakyat kepada titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta menegaskan kepentingan mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu, dan kedaulatan institusi diraja di negeri Selangor.

    "Insya-Allah pada hari ini pihak Sekretariat Himpunan Daulat Tuanku akan berhubung dan membuat pemakluman secara rasmi kepada pihak PDRM negeri Selangor secara terperinci berkenaan himpunan ini mengikut lunas undang-undang dan hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    "Pada masa yang sama, Pemuda PAS Selangor telah mengarahkan seluruh Pemuda PAS Kawasan - Kawasan untuk membuat laporan polis ke atas tindakan yang biadab dan tidak menghormati institusi diraja di negara ini," kata ketuanya Mohamed Sukri Omar.

    Demonstrasi itu dipercayai merujuk kepada isu penternakan babi di Selangor.

    Bulan lalu, ketika membahaskan titah diraja dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), wakil DAP Wong Siew Ki menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan penggunaan sistem penternakan babi moden dan memaklumkan bahawa isu itu menyentuh hak kesamarataan bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Wong Siew Ki

    Susulan itu, pertikaman lidah tercetus dalam persidangan DUN Selangor selepas wakil pembangkang cuba mengemukakan usul tergempar untuk mengheret Wong kepada prosiding disiplin.

    MENARIK:  Polis tahan lelaki asing pukul anjing

    Dewan Pemuda PAS Selangor dan BN Selangor menuduh Adun Seri Kembangan itu sebagai biadab kerana didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi.

    Pada 7 Mei lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

    Baginda juga, menegaskan agar isu penternakan haiwan itu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan, serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terpelihara.

    Sementara itu, Mohamed Sukri menegaskan apa yang dilakukan oleh pemimpin DAP adalah kebiadaban melampau, melanggar garis sempadan untuk berpolitik dan cubaan jahat untuk merungkai dasar Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara yang menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat dan negara kita. 

    "Oleh itu, perbuatan ini mesti dinoktahkan segera.Akhirnya, kami mengundang seluruh rakyat Selangor yang menjunjung  institusi diraja dan cintakan negeri ini untuk hadir beramai-ramai ke himpunan ini pada hari Sabtu nanti," tambahnya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah