PAS Johor memberikan bayangan kemungkinan kerjasama dengan Umno Johor dalam pilihan raya negeri (PRN) kelak menerusi pakatan pilihan raya (electoral pact).
Pesuruhjaya PAS Johor, Mahfodz Mohamed berkata pakatan pilihan raya itu bagi mengelakkan pertembungan kerusi antara kedua-dua parti.
Menurut Mahfodz, bentuk kerjasama itu juga bukanlah gabungan rasmi, sebaliknya persefahaman dalam pembahagian kerusi susulan perubahan jajaran politik selepas keputusan PAS Pusat menamatkan kerjasama dengan Bersatu.
“Kalau ada pun memang electoral pact, persefahaman antara kerusi-kerusi itu memang tidak akan bertembung.
“Dan akan guna logo masing-masing sebab Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dah tak akan luluskan dalam masa terdekat ini untuk letak logo-logo yang satu,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Negeri Johor, di Johor Bahru lewat malam tadi.
Ditanya sama ada pendekatan itu bermaksud PAS bergerak solo, Mahfodz menegaskan pendirian parti bahawa PAS tidak akan bertanding bersendirian dalam PRN Johor.
“Presiden (Abdul Hadi Awang) dah selalu sebut bahawa PAS tidak akan bertanding solo dan sebab itulah bila berpisah dengan Bersatu, kita ada jajaran baru.
“Jadi kita buat electoral pact saja,” katanya.
Menurutnya, rundingan tersebut dijangka melibatkan beberapa parti lain termasuk Pejuang, Putra dan Berjasa, namun keputusan muktamad mengenai kerjasama dan pembahagian kerusi akan ditentukan oleh PAS Pusat.
Mahfodz berkata setakat ini PAS Johor belum mengetahui jumlah kerusi yang akan ditandingi kerana semua rundingan dikendalikan di peringkat pusat.
“Dari segi rundingan kerusi itu PAS Pusat dah beritahu bahawa ia akan dirunding oleh PAS Pusat dengan parti-parti yang akan bergabung di PRN Johor ini,” katanya.
Untuk rekod, BN sebelum ini mengumumkan akan bertanding semua kerusi di Johor.
Beri kesan pada persediaan
Pada masa sama, Mahfodz mengakui perubahan landskap politik selepas PAS Pusat menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu memberi kesan kepada persediaan PAS Johor menghadapi pilihan raya.
“Kalau dulu ketika kita masih dengan PN kita memang dah ada kerusi-kerusi yang kita nak tanding.
“Kita pun dah menggerakkan kerja-kerja sungguh-sungguh… tapi dengan jajaran baru ini kita pun blur lah. Tak tahu apa-apa,” katanya.
Bagaimanapun, dia berkata gerak kerja parti di semua kawasan akan diteruskan sementara menunggu keputusan rundingan.
“Kita tetap akan bertanding, cuma tak tahu tempat di mana. Kawasan-kawasan yang tak bertanding akan terus digerakkan,” katanya.
Menurutnya, rundingan kerusi dijangka dimuktamadkan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya negeri.
DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun, dengan SPR akan menentukan tarikh-tarikh penting bagi PRN pada 12 Jun, bersekali dengan tarikh bagi PRN Negeri Sembilan.
Johor kali terakhir mengadakan pilihan raya pada Mac 2022, apabila BN memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi negeri.
PH memenangi 13 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi.
Bagaimanapun, pilihan raya 2022 juga mencatatkan salah satu peratusan keluar mengundi terendah pada 54.92 peratus walaupun pengundi berkembang kepada lebih daripada 2.5 juta pengundi berikutan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik.
PAS, bersama-sama Bersatu, sebelum ini bertanding di bawah panji PN, tetapi kedua-dua parti itu secara rasminya telah berpecah, tanpa pembubaran rasmi pakatan yang kini dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS Samsuri Mokhtar.





