Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dijangka tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan berlangsung 1 Ogos depan.
Namun, parti yang diasaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dikatakan akan memberi sokongan kepada calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mewakili Blok Progresif.
Sumber berkata, susulan keputusan itu Muda akan memberi fokus untuk menghadapi PRU ke-16 akan datang.
“Muda kekal komited untuk mempertahankan kerusi Parlimen Muar dan menghantar lagi ramai pimpinan untuk menjadi wakil rakyat,” katanya kepada Malaysiakini yang enggan disiarkan namanya.

Dalam PRN Johor baru-baru ini, Muda bertanding di empat kerusi termasuk dalam usaha mempertahankan kerusi Puteri Wangsa.
Bagaimanapun usaha itu gagal, malah kesemua calonnya hilang deposit pertaruhan.
Dalam PRN 2023, Muda menghantar wakil tunggal di Negeri Sembilan yang bertanding di DUN Temiang, yang juga menyaksikan kehilangan deposit.
Kerusi itu dimenangi wakil PH Ng Chin Tsai dengan majoriti 3,068 undi.






