Malaysia akan menyediakan bantuan khusus bagi sektor pendidikan dan kesihatan di Baitulmaqdis, Palestin selain pemulihan di Gaza, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan menerusi instrumen wakaf akan dilaksanakan selaras permohonan Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri yang mahu negara ini membantu kemajuan di Baitulmaqdis.
“Sheikh Dr Ekrima meminta agar kita turut membantu kemajuan di Baitulmaqdis, termasuk membaiki suasana di masjid atau madrasah-madrasah di sekitarnya.
“Saya telah berbincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, untuk memastikan selain daripada bantuan khusus bagi pemulihan Gaza, kita juga akan menyediakan bantuan wakaf untuk Universiti Al-Quds, madrasah, sekolah serta hospital di Baitulmaqdis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Imam Masjid Al-Aqsa di Putrajaya hari ini.





