Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak senonoh terhadap salah seorang wartawan yang didakwa diganggu secara seksual ketika membuat liputan kempen bagi PRK Sungai Bakap.
Dalam satu kenyataan hari ini, Fahmi mengucapkan terima kasih kepada polis kerana memastikan siasatan menyeluruh dan telus akan dijalankan.
“Pihak yang melakukan kesalahan perlu segera dibawa ke muka pengadilan.
"Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku sama sekali, apatah lagi ketika pengamal media sedang menjalankan tugas,” katanya.
Awal hari ini, Malaysiakini melihat laporan polis yang dipercayai difailkan oleh mangsa mengatakan bahawa dia diganggu secara seksual semasa membuat liputan acara yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Agensi berita nasional Bernama memetik Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad mengesahkan pihak mereka menahan seorang lelaki yang dipercayai merupakan sebahagian daripada rombongan media Pakatan Harapan (PH).
Lelaki berkenaan sebelum itu menyerah diri dan kini ditahan reman selama dua hari.
Dalam kenyataan berasingan, Kesatuan Kebangsaan Wartawan dan Gerakan Media Merdeka menggesa tindakan tegas terhadap tertuduh daripada pihak berkuasa dan majikan suspek.
Mereka juga menggesa majikan wartawan itu memberi ruang yang diperlukan untuk mendapatkan bantuan, termasuk sokongan kesihatan mental jika terdapat trauma daripada kejadian itu.





