MCA menggesa Kementerian Kewangan (MOF) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menjelaskan perbezaan angka yang dikaitkan dengan pelaburan dana persaraan itu dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery.
Ketua Penerangan MCA Chan Quin Er berkata penjelasan terperinci diperlukan berhubung jumlah pelaburan, kerugian sebenar serta proses kelulusannya kerana isu itu menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus, pemantauan dan pengurusan dana awam.
Menurutnya, laporan media sebelum ini menyebut nilai hampir RM200 juta, manakala KWAP kemudian mengumumkan jumlah pelaburan rasminya sebanyak RM163.4 juta.
"Bagaimanapun, KWAP pula memaklumkan pendedahan sebenar dana itu ialah RM163.4 juta bagi pegangan sebanyak 2.51 peratus dalam eFishery.

"Percanggahan angka ini memerlukan penjelasan dan ketelusan daripada kerajaan kerana akauntabiliti tidak boleh bergantung kepada angka yang masih belum diselaraskan," katanya pada kenyataan hari ini.
KWAP melalui kenyataan menyebut jumlah keseluruhan pelaburan dalam eFishery ialah RM163.4 juta, mewakili kira-kira 2.51 peratus pegangan saham syarikat berkenaan.
Dana itu turut memaklumkan ia sedang menggunakan semua saluran yang sesuai bagi memaksimumkan pemulihan pelaburan tersebut.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada penjelasan di Dewan Negara hari ini, pula merujuk nilai pelaburan yang terjejas itu sebagai kira-kira RM160 juta.
Anwar berkata keputusan pelaburan dibuat golongan profesional selepas melalui proses penilaian, kajian kebolehlaksanaan serta kelulusan Panel Pelaburan dan lembaga KWAP tanpa campur tangan politik.
Bagaimanapun, Chan berkata penjelasan kerajaan bahawa KWAP menjadi mangsa penipuan tidak menamatkan persoalan mengenai akauntabiliti dan keberkesanan kawalan risiko yang digunakan ketika pelaburan dibuat.
Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan menerusi jawapan bertulis di Parlimen bahawa KWAP menjadi mangsa penipuan terancang susulan manipulasi laporan kewangan oleh pengurusan eFishery.
"Jika proses usaha wajar (due diligence) benar-benar dipatuhi, persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana laporan kewangan yang dimanipulasi boleh melepasi semakan tanpa dikesan.
"Menjadi mangsa penipuan mungkin menjelaskan punca kerugian, tetapi ia tidak menjelaskan mengapa mekanisme perlindungan dana gagal mengesannya," katanya.

Pengasas bersama dan bekas ketua pegawai eksekutif eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung pada 29 April lalu selepas disabitkan atas kesalahan penggelapan dan pengubahan wang haram.
Chan turut menegaskan kedudukan Anwar sebagai perdana menteri dan menteri kewangan menuntut penjelasan kerajaan mengenai pengawasan terhadap KWAP.
"Sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempertahankan proses pelaburan itu. Sebagai Menteri Kewangan, dia juga bertanggungjawab terhadap KWAP.
"Dia tidak boleh mengesahkan proses itu berjalan dengan baik, kemudian melepaskan tanggungjawab apabila KWAP menjadi mangsa penipuan," dakwanya.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan keputusan pelaburan khusus KWAP dibuat secara bebas oleh pasukan profesional serta tidak memerlukan kelulusan langsung Kementerian Kewangan.
Dia turut memberi jaminan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya siasatan menemukan bukti penyelewengan atau salah laku.
Menurut Chan, lembaga pengarah KWAP, Panel Pelaburan dan pengurusan kanannya perlu memperincikan proses kelulusan pelaburan serta kawalan yang diguna pakai ketika keputusan dibuat.
Katanya, tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau semakan pihak berkuasa lain menemukan bukti kecuaian, salah laku atau pelanggaran tanggungjawab fidusiari.

SPRM sudah membuka siasatan berhubung pelaburan itu, tetapi setakat ini belum mengumumkan sebarang dapatan salah laku terhadap lembaga, Panel Pelaburan atau pengurusan KWAP.
Dalam pada itu, MCA menggesa Kementerian Kewangan membentangkan pelan pembaharuan rangka kerja pelaburan KWAP di Parlimen dalam tempoh yang ditetapkan.
Antara cadangan dikemukakan termasuk menetapkan had pendedahan dan penumpuan bagi pelaburan modal teroka luar negara berisiko tinggi serta mewajibkan pengesahan bebas terhadap penyata kewangan syarikat sebelum pelaburan dibuat.
MCA turut mencadangkan supaya pelaburan bersama hanya dibuat dengan pengurus dana yang disahkan, selain mewajibkan risiko tertentu dilaporkan kepada lembaga pengarah menerusi sistem pemantauan berasaskan pencetus risiko.

Menurutnya, mandat pelaburan KWAP juga perlu memberikan keutamaan yang jelas terhadap pemeliharaan modal dana persaraan.
Selain itu, MCA menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuka prosiding bagi meneliti pelaburan KWAP dalam eFishery, termasuk proses kelulusan dan keberkesanan rangka kerja tadbir urusnya.
"Apabila berlaku kegagalan, tadbir urus yang baik diukur melalui tahap ketelusan dan akauntabiliti.
"Rakyat berhak mendapat penjelasan yang jujur, siasatan yang telus dan tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal menjalankan tanggungjawab," kata Chan.

PAC sebelum ini berkata jawatankuasa itu akan membincangkan sama ada prosiding perlu dibuka berhubung pelaburan tersebut. Setakat ini, PAC belum mengumumkan keputusan untuk memulakan prosiding rasmi.
Sebelum KWAP mengumumkan jumlah pelaburan rasmi RM163.4 juta, beberapa laporan dan pemimpin politik merujuk nilai pelaburan berkenaan sebagai kira-kira RM200 juta.
Antaranya, Naib Presiden Parti Wawasan Negara Omar Mustapha yang menggesa kerajaan membentangkan laporan menyeluruh kepada Parlimen mengenai proses kelulusan, penilaian risiko, semakan dalaman dan usaha mendapatkan semula pelaburan eFishery.
Omar ketika itu berkata isu berkenaan tidak sekadar membabitkan angka dalam laporan kewangan, tetapi menyentuh dana yang diurus bagi memenuhi tanggungan persaraan penjawat awam.





