Portal berita Malaysiakini memenangi empat anugerah emas dalam Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024 malam tadi.
Portal berita itu merangkul tempat pertama dalam empat kategori iaitu Rancangan Bual Bicara Video Terbaik; Multimedia Terbaik; Laporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Terbaik; dan Laporan Penyiasatan Terbaik.
Malaysiakini juga memenangi tempat ketiga bagi kategori Laporan Penyiasatan Terbaik.
Wartawan KiniTV, Vivian Yap dan Phung Yi Wen memenangi anugerah Rancangan Video Terbaik menerusi segmen rancangan Lapang Dada dalam bahasa Malaysia yang bertajuk Rakyat Tanpa Kerakyatan Di Malaysia: Adakah Ini Masanya Untuk Dihentikan?.
Segmen itu menampilkan aktivis Wong Kueng Hui, ahli politik Ibrahim Ali, pemimpin NGO Lukman Sheriff Alias dan Pengarah Perlindungan Sosial DHRRA Malaysia, Maalini Ramalo, yang membincangkan isu kerakyatan di Malaysia.
Kategori Multimedia Terbaik dimenangi oleh simulasi interaktif Kini News Lab mengenai penipuan dalam talian bertajuk Can You Escape Online Scams? (Bolehkah Anda Melarikan Diri Daripada Penipuan Dalam Talian?).
Simulasi itu memberi peluang kepada pengguna untuk memahami taktik licik digunakan oleh penipu melalui beberapa siri permainan yang memperlihatkan pelbagai kemungkinan senario.
Anugerah tersebut dimenangi oleh Aidila Razak, Ooi Choon Nam, Ahmad Amin Noor Ideris, Nor Natasya Syahirah Mohd Zaffri, dan Syariman Badrulzaman.
Bekas wartawan Malaysiakini Low Choon Chyuan, editor meja Bahasa Cina Lee Weng Keat, dan bekas jurugambar Mukhriz Hazim Muhammad Zabidi pula memenangi anugerah Laporan ESG Terbaik.

Ia melibatkan satu siri laporan mengenai pembalakan di Pahang, Timber Grab: The Truth About Pahang’s Oil Palm Plantations (Ada Balak Di Balik Sawit), Pahang Deforestation Aided By RM52M Financing From Bank Islam (Bank Islam Biayai RM50 juta Projek Balak Pahang) dan 12 New Projects Approved Even After 2019 Deforestation Deadline (Walau tarikh tebang hutan dah tamat, 12 projek baru lulus di Semenanjung).
Siri itu membongkar kelemahan tadbir urus dalam pengurusan ladang kelapa sawit yang mengakibatkan pembalakan besar-besaran di kawasan sensitif alam sekitar, termasuk kawasan bersempadan dengan kawasan perlindungan harimau.
Anugerah emas keempat untuk kategori Laporan Penyiasatan Terbaik dimenangi oleh wartawan penyiasatan Vinothaa Selvatoray dan bekas jurugambar Malaysiakini, Azneal Ishak.
Laporan mendalam mereka bertajuk Heavy Metals Found In Kelantan Orang Asli Blood, Community Fear Poisoned By Mining (Maut di sungai merah’ - Orang Asli risau anak-anak keracunan) memaparkan kisah Orang Asli suku Temiar di Gua Musang, Kelantan, yang terjejas akibat pencemaran air berpunca daripada aktiviti perlombongan.
Malaysiakini juga memenangi tempat ketiga bagi kategori sama menerusi satu siri laporan penyiasatan mengenai sindiket pemerdagangan pekerja migran oleh wartawan B Nantha Kumar.
Laporannya bertajuk Sindiket Warga Asing: ‘Ikan Besar’ Masih Bebas mendedahkan kewujudan sindiket dalaman yang melibatkan pegawai Jabatan Imigresen, yang didakwa menyalahgunakan visa perubatan Malaysia untuk menyeludup masuk pekerja asing.





