29.6 C
Kuala Lumpur
Monday, June 8, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Laporan siasatan dalaman tak diserah ke pengetua, kata saksi

    Shopee Sale

    Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini diberitahu laporan hasil siasatan dalaman kes Zara Qairina Mahathir tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya disimpan di dalam fail khas di unit disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha.

    Penolong ketua guru disiplin sekolah itu Nurul Syahadah Ibrahim, turut mengesahkan yang laporan berkenaan tidak dikemukakan kepada pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia mahupun pengetua sendiri.

    Menjawab soalan peguam Clarice Vyone Conrad yang mewakili bapa Zara Qairina, saksi itu bersetuju bahawa laporan berkenaan sepatutnya diserahkan kepada pengetua dalam apa jua keadaan kerana menjadi tanggungjawab pengetua untuk mengetahui setiap perkara yang berlaku di sekolah.

    “Ya, benar. Guru besar perlu dimaklumkan walaupun kes kecil... saya sandarkan perkara ini kepada khilaf saya sendiri... laporan siasatan dalaman ini hanya diketahui oleh unit disiplin sahaja, dan kami menjaga kerahsiaan walaupun berada dalam sekolah yang sama.

    “Kami beranggapan laporan itu hanyalah untuk simpanan dalaman unit disiplin.

    “Salinan laporan itu juga tidak diberikan kepada pengetua kerana beliau tidak lagi berada di sekolah, dan kami jarang bertemu untuk menyerahkannya sendiri,” kata saksi ke-54 itu pada prosiding inkues kematian Zara Qairina, 13, di hadapan koroner Amir Shah Amir Hassan.

    Clarice: Sejak bila pengetua tidak lagi berada di sekolah?

    MENARIK:  Istana Pahang lapor polis terhadap Muhyiddin

    Nurul Syahadah: Seingat saya, sejak Ogos tahun ini.

    Clarice: Ketika laporan bertarikh 16 dan 17 Julai, pengetua masih berada di sekolah, kan?

    Nurul Syahadah: Masih ada, saya yang terlepas pandang.

    Clarice: Tadi cikgu kata ini kes serius, bagaimana boleh terlepas pandang?

    Nurul Syahadah: Benar, ini kes serius tetapi pada ketika itu, kami sangat struggle dengan tugas dan perananan masing-masing. Ya, laporan bertarikh 16 dan 17 Julai, saya sendiri terlepas pandang untuk menyerahkannya kepada pengetua kerana terlalu fokus kepada siasatan dalaman.

    Nurul Syahadah, 38, juga berkata laporan itu hanya untuk rekod dalaman sekolah dan bukan untuk pihak berkuasa. Dia juga mengakui mungkin menyerahkannya jika diminta berbuat demikian oleh pihak polis.

    Semalam saksi terbabit berkata siasatan dalaman itu dijalankan pada 16 dan 17 Julai serta 4, 5 dan 13 Ogos membabitkan beberapa pelajar termasuk lima individu yang dikatakan orang terakhir melihat Zara Qairina.

    Dia berkata siasatan tersebut dijalankan melalui sesi soal jawab dan pernyataan bertulis para saksi.

    Prosiding hari ini dipendekkan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung esok. Prosiding akan bersambung pada Isnin.

    Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah