Kerajaan Madani sedang membuka ruang kepada lebih banyak krisis kehakiman pada masa hadapan sekiranya gagal menghapuskan kuasa perdana menteri dalam pelantikan hakim, kata Latheefa Koya.
Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL) itu berkata walaupun pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, baginda masih terikat dengan nasihat perdana menteri.
Ini susulan tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang cuba meletakkan tanggungjawab kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan berhubung krisis kehakiman semasa, yang menyaksikan Putrajaya dituduh campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim tertinggi.
“Perdana menteri masih mempunyai kuasa untuk menentukan hakim yang akan dilantik. Oleh itu, apa-apa pun keputusan yang dibuat oleh Raja-Raja dalam masa terdekat ini tidak akan menjawab persoalan utama yang mencetuskan krisis kehakiman, apatah lagi menyelesaikannya.
“Ringkasnya, perdana menteri secara sengaja mengelak daripada isu sebenar — iaitu kuasa perdana menteri melantik hakim tanpa sebarang akauntabiliti.
“Selagi perdana menteri memegang kuasa yang berbahaya ini, integriti dan kebebasan badan kehakiman tidak dapat dijamin dan akan terus terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Latheefa merujuk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.
Pada Sabtu lalu, satu kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang didakwa berlaku pada Mei memberi kredibiliti kepada dakwaan wujudnya campur tangan kehakiman terhadap seorang hakim kanan.
Terdapat juga kebimbangan bahawa kerajaan sedang mengenepikan cadangan-cadangan daripada JAC — yang dikemukakan ketika Tengku Maimun Tuan Mat masih menjadi Ketua Hakim Negara — untuk mengisi jawatan kehakiman utama.
Krisis ini telah mendorong Badan Peguam Malaysia mengadakan demonstrasi di Putrajaya pada Isnin lalu, dengan mereka menyerahkan memorandum mengandungi empat tuntutan:
-
Mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman;
-
Mendedahkan minit mesyuarat JAC;
-
Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman;
-
Menyelesaikan isu kekosongan jawatan kehakiman secara keseluruhan.