Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan enggan mengulas mengenai laporan yang mendakwa partinya berhasrat untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mentadbir Sabah.
Menurut portal berita MalaysiaNow, Kitingan dilihat dalam satu video yang didakwa memaparkannya mengancam untuk menarik Star keluar daripada gabungan tersebut yang kini dipimpin oleh Ketua Menteri, Hajiji Noor.
Dalam video berkenaan, Kitingan dilaporkan berkata partinya “akan keluar dari GRS, tetapi masih dengan kerajaan.”
Ketika dihubungi Malaysiakini, pegawai kepada Kitingan yang enggan dinamakan berkata Kitingan “tiada sebarang komen lanjut” berhubung laporan tersebut.
Kitingan yang merupakan Timbalan Ketua Menteri II Sabah merupakan antara sejumlah ahli politik di negeri itu yang kini terpalit dalam skandal rasuah lesen perlombongan.
Pada 28 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan enam lagi ahli politik GRS daripada Star dan Parti Bersatu Sabah (PBS) turut dikaitkan dalam skandal tersebut yang telah menggugat pentadbiran Hajiji.
Satu sumber telah memberikan Malaysiakini tangkap layar yang dikatakan diambil daripada rakaman video membabitkan enam individu terbabit, serta jumlah wang yang didakwa mencecah RM3.96 juta.
Sehari kemudian, Kitingan menafikan dakwaan dia menerima suapan sebanyak RM1.78 juta berkaitan skandal tersebut.
Dia menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas sama sekali dan serangan bermotif politik yang bertujuan menggugat kestabilan, memburukkan imej serta menghancurkan kerajaan Sabah.
Dia juga mempersoalkan masa skandal itu didedahkan dan motif di sebaliknya, dan pada masa sama menafikan sebarang salah laku.
Namun dia mengakui ada bertemu dengan ahli perniagaan Albert Tei, yang merupakan pemberi maklumat dalam skandal tersebut, sekitar waktu rakaman video yang mengaitkannya diambil.
Pada 30 Jun lalu, Tei telah didakwa di mahkamah atas tuduhan memberi rasuah kepada Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Andi Suryady Bandy dan Adun Sindumin, Yusof Yacob, bagi mendapatkan bantuan berkaitan lesen penerokaan mineral.





