Bersatu berpendapat, konflik yang melanda PN ketika ini turut memperlihatkan kegagalan Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai pengerusi gabungan tersebut.
Dalam kenyataan kepada media hari ini, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata sejak memegang jawatan tertinggi PN itu lebih 103 hari lalu, pelbagai pertikaian muncul dan ia tidak disusuli dengan penyelesaian sepatutnya.
Malah, dakwa Tun Faisal lagi, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Ahmad Samsuri kurang tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa isu penting termasuk perkembangan politik di Negeri Sembilan, isu-isu rakyat dan kemelut yang sedang melanda PN.
Mengulas keputusan PAS menghentikan kerjasama dengan Bersatu malam tadi – yang didakwa memang dijangka – Tun Faisal berkata, kedudukan Ahmad Samsuri menyebabkan dia tidak bebas untuk bertindak selaku Pengerusi PN.
“Pada masa yang sama, kemelut ini turut menyerlahkan kelemahan kepimpinan dalam PN.
“Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilihat gagal memainkan perananan yang berkesan dalam mengurus dan menyelesaikan konflik yang timbul, khususnya apabila melibatkan partinya sendiri.
“Sebagai Naib Presiden PAS, beliau berdepan kekangan untuk membuat keputusan secara muktamad kerana perlu merujuk kepada Presiden PAS dan majlis syura terlebih dahulu.
“Keadaan ini menyebabkan banyak isu penting dalam PN tidak dapat diselesaikan melalui saluran gabungan dengan berkesan,” katanya.
Malam tadi PAS mengumumkan parti itu tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu berdasarkan kepada beberapa isu yang timbul. Parti itu juga mendakwa langkah berkenaan dibuat tanpa pengaruh sentimen atau kepentingan jangka pendek.
Sebalilknya, PAS mendakwa ia dibuat demi “penyatuan ummah” dan “kestabilan politik negara.”
Untuk rekod antara isu berbangkit yang menyebabkan PAS tidak berpuas hati kepada Bersatu ialah usaha mereka – yang kemudian gagal – untuk menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Aminuddin Harun pada 27 April lalu.
Menurut Tun Faisal, dia difahamkan bahawa pemimpin Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia cuba bertemu dengan Ahmad Samsuri bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan terbuka Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.
Namun, dakwa Tun Faisal, sehingga kini usaha tersebut masih belum mendapat maklum balas yang sewajarnya.
“Keadaan ini akhirnya menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kepimpinan beliau sebagai Pengerusi PN dalam memastikan gabungan itu dapat berfungsi dengan baik, membuat keputusan secara berkesan dan menangani konflik yang timbul dalam kalangan parti-parti anggotanya,” kata Tun Faisal.





