Keluarga tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 Nov menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.
Isteri salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jayashree mendedahkan rakaman audio perbualannya dengan suami ketika kejadian, yang tidak menggambarkan mangsa mengancam polis seperti didakwa.
Jayashree isteri kepada G Logeswaran, 29, yang ditembak mati oleh polis mendedahkan dalam rakaman itu kesemua mereka memberi kerjasama baik kepada pihak polis ketika ditahan.
"Tiba-tiba polis serang, dengar dia punya bunyi serangan, dia (suami) bunyi kesakitan. Dia punya suara kesakitan memang dengar, orang panggil dia duduk, dia duduk juga.
“Dia (polis) kata duduk, duduk. Ya bang (kata suami), saya duduk," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.





