Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya akibat kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, pagi ini.
Beliau yang melawat lokasi kebakaran dan pusat operasi pada petang ini turut mengumumkan bantuan sebanyak RM2,500 kepada lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya rosak.
Katanya, tanggungjawab memulihkan kawasan perumahan berkenaan akan diambil sepenuhnya oleh kerajaan bersama PETRONAS dan kerajaan negeri.
Anwar berkata mereka sedang berbincang mengenai langkah-langkah sesuai berkaitan penempatan mangsa sebelum mereka mampu kembali ke kediaman masing-masing.

“Perbincangan dengan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), kerajaan negeri dan PETRONAS mendapati rumah mereka tidak mungkin dapat dipulihkan dalam masa terlalu singkat.
“Kerajaan dan PETRONAS sedang berbincang bagaimana untuk mengambil tindakan segera dan munasabah kerana ia akan mengambil masa setahun, bukan seperti bencana banjir yang hanya berlangsung seminggu atau dua minggu.
“Saya harap jangan bimbang, cuma ia mengambil masa sedikit,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan itu.
Sehingga 4 petang ini, sebanyak 190 buah rumah,. 148 kereta serta 11 buah motosikal dilaporkan rosak dalam kejadian kebakaran itu.






