Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof akan berkhidmat sebagai pemangku Presiden Mahkamah Rayuan berikutan persaraan Abang Iskandar Abang Hashim pada Rabu lalu.
Pelantikan tersebut, lapor portal berita FMT, dibuat pemangku Ketua Hakim Negara, Hasnah Mohammed Hashim, berdasarkan Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Di bawah peruntukan itu, seseorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh melaksanakan tugas dan fungsi Presiden Mahkamah Rayuan sekiranya jawatan itu kosong.
Salinan surat pelantikan Zabariah itu turut dihantar kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Zamri Bakar, dan pendaftar Mahkamah Rayuan Jumirah Marjuki.
Semalam, Hasnah yang kini merupakan Hakim Besar Malaya – dilantik sebagai pemangku Ketua Hakim Negara berikutan persaraan wajib penyandangnya, Tengku Maimun Tuan Mat, pada 1 Julai lalu.
Hasnah akan menjalankan kuasa dan fungsi Ketua Hakim Negara serta jawatan hakikinya buat masa ini.





