Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan sikap kerajaan yang dilihat mengabaikan garis panduan bagi umat Islam menghadiri acara keagamaan bukan Islam.
Menurutnya, tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai komitmen kerajaan terhadap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan perananan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
"Majlis Fatwa Kebangsaan adalah suatu badan autoriti yang berperananan dalam memberikan panduan kepada umat Islam dalam isu-isu berkaitan akidah dan amalan agama.
"Pengabaian atau tidak menghormati pandangan ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, tetapi juga berpotensi menggugat sensitiviti agama yang selama ini menjadi asas kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Justeru kata Afnan, Pemuda PAS Malaysia menuntut supaya kerajaan menyatakan secara jelas pendirian rasmi mereka terhadap garis panduan tersebut dan memberikan penjelasan kenapa ia tidak dijadikan sebahagian daripada dasar negara.
Dia juga menuntut pihak berkuasa agama seperti JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri diberi ruang sepenuhnya untuk melaksanakan fatwa dan garis panduan tanpa campur tangan politik yang boleh mencemarkan prinsip Islam.
Selain itu Afnan juga menggesa dialog terbuka diadakan antara kerajaan, pihak berkuasa agama, serta badan-badan bukan kerajaan.
"Pemuda PAS percaya bahawa Islam sebagai agama Persekutuan perlu dihormati sepenuhnya dalam setiap dasar dan tindakan kerajaan.
“Kami menggesa agar isu ini diberi perhatian serius demi memastikan kedaulatan Islam terpelihara dalam masa yang sama, keharmonian negara terus kekal utuh,” tegasnya.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, berkata kerajaan merancang untuk memperkenalkan garis panduan baru.
Antaranya, penganjur acara perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara melibatkan kehadiran umat Islam, dan acara tersebut tidak boleh mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Susulan kritikan, Na’im pada Khamis lalu menyatakan bahawa garis panduan itu masih dalam peringkat kajian.
Dia juga mengeluarkan kenyataan bersama dengan Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang semalam dengan mengakui perkara itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Mereka berkata, mesyuarat kabinet pada hari itu bersetuju bahawa Jakim boleh memberi nasihat kepada umat Islam mengenai pemeliharaan akidah mereka, tetapi nasihat itu tidak boleh dianggap sebagai dasar kerajaan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim turut berkata kabinet memutuskan garis panduan tersebut tidak perlu kerana umat Islam mengetahui batas mereka, dan keputusan itu akan dibentangkan kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah.
Anwar menegaskan walaupun Islam adalah agama Persekutuan, Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama.





