Perunding Iran akan mengadakan pertemuan dengan pengantara Qatar di Doha pada Rabu bagi membincangkan pelaksanaan memorandum persefahaman (MOU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, termasuk pelepasan aset Iran yang dibekukan, kata Tehran pada Selasa sambil menegaskan tiada rancangan untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Washington, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata perbincangan di Doha akan tertumpu kepada pelaksanaan klausa dalam memorandum persefahaman itu, menurut penyiar awam IRIB.
"Apa yang akan dilakukan di Doha pada Rabu ialah perbincangan mengenai pelaksanaan klausa memorandum persefahaman, termasuk pelepasan aset Iran yang dibekukan, yang melibatkan pihak Qatar," katanya.
Dia menegaskan Tehran tidak bercadang mengadakan sebarang pertemuan dengan pihak AS dalam tempoh beberapa hari akan datang.
"Pada asasnya, kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk bertemu pihak AS di mana-mana peringkat dalam tempoh beberapa hari akan datang," katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Qatar memaklumkan bahawa utusan khas AS Steve Witkoff dan Jared Kushner berada di Doha untuk bertemu pengantara serta membincangkan perkembangan rundingan dengan Iran.
Secara berasingan, seorang pegawai kanan AS berkata Witkoff dan Kushner dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani serta pengantara lain di Doha pada Selasa bagi meneruskan dialog serantau mengenai memorandum persefahaman itu.
Pegawai itu berkata delegasi AS dan Iran dijangka menyertai rundingan teknikal secara berasingan bersama pengantara dari Qatar dan Pakistan pada Rabu.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar Majed Al-Ansari berkata pemindahan dana Iran berjumlah AS$6 bilion daripada keseluruhan US$12 bilion yang dibekukan "akan dipersetujui oleh AS dan Iran", sambil mengesahkan dana itu masih belum dipindahkan kepada Tehran.
Dia berkata isu dana yang dibekukan itu bergantung kepada kemajuan rundingan antara Washington dan Tehran.
MOU antara Washington dan Tehran mula berkuat kuasa pada 18 Jun selepas ditandatangani secara elektronik oleh Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Presiden AS Donald Trump.
Memorandum itu menyediakan rangka kerja bagi menamatkan konflik yang tercetus pada akhir Februari serta menyelesaikan isu tertunggak antara Washington dan Tehran menerusi rundingan termasuk menghentikan permusuhan, pelonggaran sekatan, isu nuklear, pembukaan sepenuhnya Selat Hormuz serta aturan keselamatan serantau yang lebih menyeluruh.





