Abdul Hadi Awang hari ini berkata, pertemuan di antara PAS dengan Umno yang berlangsung semalam adalah sesuatu yang “biasa” dan ia bahkan berlaku dari semasa ke semasa.
Menjawab soalan wartawan yang menemuinya selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang, ahli politik veteran itu bagaimanapun memberitahu dia tidak terlibat dalam pertemuan tersebut.
Sebaliknya, kata Abdul Hadi, dia dimaklumkan saja mengenainya.
“(Itu) pertemuan biasa… kita jumpa belaka mana-mana (pihak) yang nak jumpa,” katanya.
Difahamkan pertemuan tersebut berlangsung di Kuala Lumpur pada malam tadi.
Perkembangan itu berlaku selepas PAS mengeluarkan kenyataan mengajak Umno mengusahakan Muafakat Nasional (MN) 2.0 menjelang dua pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Semalam Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata di ambang PRN ini terbuka ruang untuk “gelombang perubahan baru” dalam politik Malaysia dan dilihat berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini.
“Lebih daripada itu, ia juga mampu membentuk kekuatan politik bumiputera, bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, bahkan juga di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika hubungan PAS bersama Bersatu dalam gabungan PN masih gagal ditangani selepas berlaku pertembungan terbuka, termasuk melibatkan kritikan dibuat Abdul Hadi pada 22 Mei lalu.
Untuk rekod sebelum ini PAS terlibat dalam MN dan bekerjasama dengan Umno kira-kira setahun selepas berakhirnya PRU ke-14. Bagaimanapun gagasan itu berkubur selepas PAS bertindak bekerjasama pula dengan Bersatu – yang sebelum itu meninggalkan PH – lalu menubuhkan PN.
Pada masa sama Umno pula mengemukakan gagasan Rumah Bangsa dengan mengajak semua orang Melayu Islam bernaung di dalamnya.
Abdul Hadi pula menolak gagasan tersebut kerana menganggapnya sekadar sebuah rumah dengan bumbung yang tidak selamat atau payung buruk.
“Lebih berbahaya lagi kalau menjadi laksana rumah yang tidak beratap dan berdinding, yang dimasuki hantu yang menjadi penunggu sehingga membahayakan penghuninya,” kata Abdul Hadi.





