Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap wartawan senior dan pengasas TwentyTwo13, Haresh Deol, ketika dia sedang menjalankan tugas.
Dalam satu kenyataan hari ini, Geramm menyifatkan tindakan berunsur kekerasan dan intimidasi terhadap wartawan sebagai perbuatan tidak bertamadun serta bercanggah dengan prinsip kebebasan media dalam sistem demokrasi.
"Serangan fizikal terhadap seorang wartawan bukan sahaja mengancam keselamatan individu, tetapi juga menjejaskan hak orang awam untuk menerima maklumat tepat serta bebas tekanan.
"Geramm menggesa pihak polis untuk menyiasat insiden ini dengan segera dan telus, termasuk mengenal pasti motif dan individu yang tebabit," katanya.
Terdahulu, Haresh diserang dua individu ketika ingin memasuki keretanya di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.
Menerusi akaun aplikasi X miliknya, Haresh memaklumkan diserang individu berkenaan dengan salah seorang turut merakam video kejadian itu.
Susulan itu, Haresh tampil membuat laporan polis.
Mengulas lanjut, Geramm juga mahu tindakan tegas terhadap pelaku bagi menghantar mesej jelas bahawa keganasan terhadap wartawan tidak boleh diterima dalam apa jua bentuk.
"Memastikan keselamatan petugas media ketika melaporkan isu-isu berkepentingan awam.
"Geramm juga menyeru semua pihak, termasuk pemimpin politik dan masyarakat umum, untuk menghormati perananan wartawan sebagai penyampai maklumat dan bukannya menjadikan mereka sasaran ancaman atau serangan," katanya.





