Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan kerajaan yang berkeras mahu menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) yang menyokong rejim Israel.
Ahli politik veteran itu berkata pada mulanya, sangkaannya adalah kerana MAHB mencatatkan kerugian. Bagaimanapun, kemudiannya, dia mendapat tahu ia tidak benar.

“Apabila saya dengar syarikat MAHB akan menjual sahamnya kepada syarikat Amerika, sangkaan saya ialah MAHB rugi.
“Sekarang saya dapat tahu bahawa MAHB untung sebanyak RM543 juta bagi tahun 2023. Tak banyak syarikat yang dapat untung seperti ini.
“Kenapa nak jual 30 peratus kepada syarikat Amerika yang menyokong Israel?
“Saya tak faham. Mungkin ada udang di sebalik batu?” kata Dr Mahathir dalam satu hantaran di X.
Pada 15 Mei lalu, Khazanah Nasional Berhad mengumumkan bahawa sedang mengetuai konsortium, Gateway Development Alliance (GDA), untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki mereka pada harga tawaran RM11 sesaham.
Konsortium itu terdiri daripada Khazanah menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd; KWSP; anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA); dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka sedunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.





