29 C
Kuala Lumpur
Tuesday, November 4, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Di Tawau ada kebimbangan pasal ‘Sempornanisasi’

    Shopee Sale

    PRN SABAH | Dalam diam ketegangan sedang mewarnai politik Tawau — bukan melalui pertentangan terbuka, tetapi melalui rasa bimbang yang terpendam tentang kedudukan identiti etnik dan pengaruh.

    Di Tawau, penduduk mula menggunakan satu istilah baru untuk menggambarkan kebimbangan lama.

    Mereka menyebutnya “Sempornanisasi” — istilah tempatan yang menggambarkan rasa tidak selesa terhadap pengaruh politik semakin meluas dari daerah jiran, Semporna — pangkalan kuasa parti Warisan — serta kebimbangan bahawa kuasa dalam kalangan komuniti setempat semakin terhakis.

    Istilah itu tidak digunakan dalam kempen atau ucapan politik namun ia sering muncul dalam perbualan harian — di pasar, warung tepi jalan dan sembang malam antara jiran.

    Bagi ramai penduduk, perkataan itu mewakili kebimbangan mendalam tentang siapa yang membuat keputusan, siapa yang dilantik dan siapa yang kekal berkuasa selepas pilihan raya berakhir.

    “Kami bukan menentang sesiapa. Tapi orang di sini risau kalau Warisan menang, semua akan pergi ke Semporna — jawatan kerajaan, pelantikan politik malah kerusi kabinet.

    "Itu yang orang cakap di mana-mana,” kata Mohd Nasir Said, 46, seorang peniaga kecil di Apas, salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri di Tawau.

    Siti Rahmah Hassan, pengusaha gerai mi berhampiran, mengangguk bersetuju.

    “Bukan benci, cuma risau. Bila mereka ambil alih, kita akan dilupakan lagi,” katanya.

    Politik identiti Bugis

    Penganalisis politik UiTM Sabah, Tony Paridi Bagang berkata konsep “Sempornanisasi” menunjukkan bagaimana politik berasaskan identiti etnik terus memainkan perananan penting dalam politik tempatan di Sabah, khususnya di pantai timur.

    Ia juga mencerminkan bagaimana politik Tawau berbeza ketara dari kawasan majoriti Kadazandusun di pedalaman.

    “Di sini, politik identiti dibingkai oleh dua naratif yang bertindih — Sempornanisasi dan Bugisnisasi,” katanya.

    “Kedua-duanya berkait rapat dengan hubungan antara kuasa politik, ekonomi dan birokrasi — menunjukkan bagaimana etnik, akses terhadap kuasa dan kawalan sumber saling berhubung,” jelasnya.

    Masyarakat Bugis membentuk majoriti penduduk di Tawau manakala Semporna pula didominasi oleh etnik Bajau.

    “Komuniti Bugis yang majoriti di Tawau mungkin melihat Sempornanisasi sebagai cabaran terhadap kedudukan mereka dari segi politik, sosial, budaya dan ekonomi,” kata Tony.

    Namun, ketegangan juga wujud dalam kalangan masyarakat Bugis sendiri apabila elit politik daripada parti berbeza berebut untuk membuktikan siapa yang paling layak mewakili maruah dan kebanggaan etnik itu.

    Bugis vs Bugis di Apas, Balung

    Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas di Apas dan Balung — dua kerusi yang dijangka menjadi medan pertembungan antara GRS dan BN.

    Pada pilihan raya negeri 2020, calon GRS Nizam Abu Bakar menang di Apas manakala calon BN Hamild @ Hamid Awang menewaskan lawan di Balung.

    Hamid kemudian berpaling tadah menyertai GRS pada 2023 selepas pertikaian antara BN Sabah dan ketua menteri sementara, Hajiji Noor.

    Kedua-dua penyandang berasal daripada keturunan Bugis, dan besar kemungkinan calon utama mereka yang bertanding pada pilihan raya bulan ini juga daripada etnik sama.

    MENARIK:  'Kapal dah karam': Dr Rafidah kongsi kisah sepupu tinggalkan KKM

    “Ini dinamika Bugis lawan Bugis. Pengundi tidak berpecah kerana etnik, tetapi kerana pemimpin Bugis mana yang mereka rasa boleh beri lebih banyak,” kata seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad.

    Pengundi berusia hati-hati

    Corak pengundian di Tawau cenderung lebih konservatif. Daripada 91,820 pengundi berdaftar, hampir 49 peratus berusia lebih 40 tahun.

    Ramai masih mengingati pertukaran kerajaan yang kerap dan kekal setia kepada wajah-wajah yang dikenali. Mereka memilih kesinambungan — bukan kerana manifesto atau slogan, tetapi kerana kepercayaan terhadap calon yang dianggap mampu menjaga kepentingan mereka.

    “Orang di sini berhati-hati. Kami dah tengok ramai pemimpin datang dan pergi. Mereka undi orang yang mereka kenal,” kata pesara guru Ahmad Ramli.

    Daripada tiga kawasan DUN di Tawau, hanya Sri Tanjong yang kelihatan tidak terjejas oleh perbualan mengenai Sempornanisasi.

    Kawasan bandar majoriti Cina ini menilai calon berdasarkan prestasi dan kredibiliti, bukan latar etnik.

    Penyandang Warisan, Justin Wong (gambar atas) kekal popular dalam kalangan pengundi.

    Dia menumpukan kempen kepada isu pembangunan dan peluang ekonomi — termasuk cadangan menjadikan Tawau sebagai pintu masuk ke Kalimantan Timur dengan kemudahan dermaga pelancongan, hotel bertaraf antarabangsa dan pelaburan kesihatan swasta.

    “Bila pelancong mendarat di Lapangan Terbang Tawau, mereka belok kanan ke Semporna, bukan kiri ke Tawau. Saya nak ubah perkara itu,” katanya.

    Namun, Justin bakal berdepan tentangan sengit daripada bekas partinya, DAP.

    Gabungan kekuatan DAP dan Warisan pada pilihan raya negeri 2020 menyaksikan Justin meraih 75.6 peratus undi, tetapi dia meninggalkan DAP pada 2022 untuk menyertai Warisan.

    Pengaruh DAP di Sri Tanjong kekal kuat namun calon barunya, Philip Yap, dilihat masih sukar menarik sokongan.

    Muka baru tiada kisah gelap

    Penganalisis Universiti Malaysia Sabah, Dr Lee Kuok Tiung berkata pengundi di kawasan itu masih setia kepada simbol DAP tetapi mengharapkan calon yang aktif dan mudah didekati.

    “Mereka masih percaya pada jenama DAP,” katanya.

    “Tapi mereka juga mahu calon yang turun padang dan dapat dilihat bekerja.”

    Sumber dalaman parti kini menyebut nama Larina Wong, adik kepada Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong sebagai calon alternatif.

    Menurut pemerhati tempatan Hamzah Dedeng, langkah itu mungkin bertujuan membangkitkan nostalgia terhadap kepimpinan DAP terdahulu.

    Kedua-dua adik-beradik Wong itu merupakan anak kepada mendiang Stephen Wong, bekas ahli parlimen Sandakan dari 2013 hingga 2019.

    “Ada sesuatu tentang pemimpin lama seperti Jimmy Wong dan Chan Foong Hin — mereka betul-betul berjuang untuk hak tempatan,” kata Hamzah.

    Sementara itu, pemilik sebuah kafe di bandar Tawau, Lydia Chung berkata pengundi kini menilai calon berdasarkan integriti dan tenaga muda.

    “Orang nak muka baru, yang bersih, tiada kisah gelap,” katanya.

    “Mereka dah bosan dengan orang kaya dan drama politik mereka.”

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah