Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada usia 66 tahun.
Berita pemergian ahli Parlimen Kinabatangan itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar, melalui satu hantaran di Facebook pagi ini.
“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).
“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.
Malam tadi, Malaysiakini melaporkan bahawa Bung — yang juga pengerrusi Umno Sabah — dimasukkan ke hospital semalam selepas mengalami komplikasi pada paru-paru, jantung dan buah pinggang.SDia dilaporkan dalam keadaan kritikal ketika menerima rawatan.
Pada pilihan raya negeri Sabah pada Sabtu lalu, Bung mempertahankan kerusi Lamag untuk penggal seterusnya, menang tipis dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Bung dan isterinya, pelakon Zizie Izette Abdul Samad, sebelum ini berdepan pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Pada 13 November, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan pasangan itu untuk menangguhkan prosiding membela diri dalam kes RM2.8 juta tersebut — yang sepatutnya berlangsung pada 27 November dan 3 Disember — ke Januari tahun depan, selepas meeka memohon penangguhan berikutan tarikh PRN Sabah pada 29 November.





