Penyanyi Auddra meluahkan rasa sedih dan bersimpati dengan nasib rakan seperjuangannya, Marsya Qistina yang menjadi mangsa buli siber.
Artikel Berkaitan: ‘Jangan Usik Anak Kami, Yang Menyalak Pernah Belajar & Jadi Penyanyi Tak?’ – Liza Hanim
‘Marsya sangat bijak dan baik’

Ketika ditemui , Auddra atau lebih dikenali sebagai Odah menyifatkan Marsya sebagai seorang individu yang sangat komited terhadap kerjaya dan pelajarannya.
Menurutnya, kualiti vokal Marsya adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak sepatutnya dipertikaikan.
Saya rasa sedih sangat. Marsya seorang budak yang sangat bijak dan baik.
Dia tak layak kena kecam macam tu. Vokal dia sangat hebat, kalau dengar dia menyanyi depan-depan memang boleh meremang bulu roma.
Auddra berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Dentam Dentum Raya di UTM Hotel & Recidence, Kuala Lumpur pada Isnin.
‘Saya sangat hormat pada Marsya’

Mengulas lanjut mengenai usaha Marsya, Auddra menjelaskan bahawa juara Talk To My Manager (TTMM) itu telah memberikan komitmen yang sangat tinggi sejak awal persaingan lagi.
Dia dah cuba buat yang terbaik sebagai penyanyi. Masa sidang media Talk To My Manager, dia dah cakap dia usaha kuat nak jadi penyanyi yang baik.
Bila dia menang, dia sangat gembira, tapi bila netizen kecam, dia jadi sangat sedih dan ‘down’.
Anak kepada pelakon Sharifah Shahirah ini juga menegaskan bahawa tindakan buli siber tersebut sebagai sesuatu yang tidak adil.
Banyak orang kata kenapa saya dan Thalita banyak ‘job’. Kami pun tertanya-tanya, kenapa netizen tak kesian dekat Marsya?
Dia belajar kuat, menyanyi kuat. Bukan senang nak imbangi belajar dengan menyanyi sekali gus. Saya sangat hormat pada Marsya.
Meskipun mereka jarang berhubung ekoran jadual kerja yang padat, namun Auddra berkata dia sentiasa mendoakan kesejahteraan Marsya.
Isu ini tercetus selepas penyanyi Liza Hanim mendedahkan anaknya menjadi sasaran buli siber oleh pihak yang meragui kemampuannya sebagai juara TTMM meskipun Marsya kini sedang bertungkus-lumus membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya seni.
Susulan itu, Liza Hanim telah membuat laporan polis berhubung isu buli siber.
Malah Liza juga bercadang untuk membawa perkara tersebut ke pengetahuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
The post [VIDEO] Auddra Simpati Lihat Marsya Qistina Jadi Mangsa Buli Siber – ‘Dia Tak Layak Kena Kecam Begitu’ first appeared on OHBULAN!.





