Suami kepada pelakon Allahyarham Nadia Kesuma, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah memaklumkan dia masih menunggu bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung dakwaan arwah isterinya rebah di Lapangan Terbang Jeddah, Arab Saudi, pada Khamis lalu.
Artikel Berkaitan: Suami Kongsi Detik Akhir Urusan Jenazah Nadia Kesuma, Dikebumi Selepas Subuh – ‘Diimamkan Sendiri Oleh Saya’
Artikel Berkaitan: ‘Allahyarham Nadia Kesuma Rebah Secara Mengejut & Segera Dibawa Ke Hospital’
Bukti CCTV

Menerusi satu hantaran di Facebook, Kamarul menjelaskan bahawa sehingga kini pihak keluarga masih belum menerima sebarang rakaman video walaupun permohonan rasmi telah dibuat kepada pihak berkuasa berkaitan.
Satu fakta yang mengelirukan sedang tersebar. Terdapat hantaran bergambar yang memaparkan tangkap layar kononnya menunjukkan arwah rebah di lapangan terbang. Untuk pengetahuan semua, sehingga ke saat ini, bukti video tersebut tidak wujud.
Pihak kami selaku keluarga telah membuat permohonan rasmi melalui Kerajaan Malaysia kepada pihak Kerajaan Arab Saudi supaya rakaman video berkenaan dilepaskan kepada kami (khusus untuk keluarga sahaja), memandangkan arwah dilaporkan hilang pada 15 Januari.
Namun, sehingga hari kami meninggalkan Jeddah untuk pulang ke Malaysia, permohonan tersebut masih belum diluluskan.
Tambah Kamarul, dia memahami setiap negara mempunyai prosedur tersendiri dalam mengendalikan kes sedemikian dan keluarga menghormati tatacara pihak berkuasa Arab Saudi.
Perlu difahami bahawa pihak berkuasa di sana mempunyai protokol, polisi dan prosedur yang berbeza. Sebagai keluarga, kami berasa sedih dan kecewa, namun tetap menghormati amalan serta tatacara yang ditetapkan.
Sebagai contoh, bagi kes orang dewasa hilang, laporan polis hanya boleh dibuat selepas 24 jam kehilangan. Jadi, bagaimana kami mengetahui bahawa arwah meninggal dunia di Lapangan Terbang Jeddah?
Kejadian tersebut diterangkan kepada kami secara lisan oleh pegawai Arab Saudi berdasarkan rakaman CCTV. Namun begitu, rakaman video tersebut tidak ditunjukkan kepada kami, malah lokasi sebenar kejadian juga tidak dimaklumkan.
Tidak tahu lokasi rebah

Sehubungan itu, Kamarul menegaskan bahawa sebarang maklumat atau dakwaan yang menyatakan arwah rebah atau terjatuh di lokasi tertentu adalah tidak berasas.
Oleh itu, sebarang kenyataan yang mendakwa arwah rebah atau jatuh di lokasi tertentu adalah tidak benar. Apa yang dimaklumkan kepada kami hanyalah arwah dibawa keluar menggunakan pengusung ke ambulans dan diberikan rawatan perubatan secepat mungkin.
Kesimpulannya, kami tidak mengetahui dengan tepat lokasi arwah rebah. Namun, kami mengetahui waktu kematian arwah, iaitu sekitar pukul 8.00 hingga 8.10 pagi waktu Jeddah, bersamaan 1.00 hingga 1.10 tengah hari waktu Malaysia.
Terdahulu, berita pemergian Nadia disahkan oleh suami dan anaknya selepas aktres tersebut dilaporkan gagal dikesan sebaik tiba di Jeddah. Nadia disahkan menghembuskan nafas terakhir pada 15 Januari lalu, kira-kira jam 8.07 pagi waktu tempatan.
Nadia sebelum ini dilaporkan hilang ketika berada di Jeddah, yang merupakan destinasi transitnya sebelum meneruskan perjalanan ke London.
Sumber: Facebook
The post Suami Nadia Kesuma Dedah Bukti Video Arwah Rebah Di Airport Tidak Wujud – ‘Pihak Keluarga Telah Buat Permohonan Rasmi’ first appeared on OHBULAN!.





