Penyanyi baharu yang sedang melakar namanya di dalam industri hiburan tanah air iaitu Rayme Zainal meluahkan rasa syukur apabila hasil karya terbaharunya yang berjudul ‘Close To You’ mendapat sambutan daripada peminat.
Tanpa ‘percikan’ glamor
Mendapat sentuhan gubahan muzik daripada penerbit muda Jason How, lagu ‘Close To You’ ini mengisahkan tentang cara dan bagaimana untuk seseorang itu selalu berasa dekat dengan orang yang mereka sayang meskipun terpisah oleh jarak dan waktu.
Meskipun tidak mempunyai percikan glamor setinggi langit, lagu yang berkonsepkan ‘healing’ ini merupakan lagu Inggeris pertama ciptaan penyanyi berusia 46 tahun ini dan kini telah pun dimuat turun hampir 60,000 orang pendengar di platform Spotify.
Rayme yang juga merupakan komposer bagi lagu tersebut membuktikan bahawa lagu yang bergenre R&B atau soul ini lebih relaks dan mudah untuk diterima para pendengar tempatan mahupun antarabangsa.
Lebih manis, lagu ‘Close To You’ ini juga berjaya menduduki tangga ke 5 carta ‘Lokalah Charta Show’ di stesen radio Rakita.
Ditanya mengenai harapan terhadap lagu Inggeris pertama ciptaannya itu, Rayme berharap agar stesen radio tempatan lebih terbuka memutarkan lagu berkonsepkan begini kerana ia juga sehebat karya lagu antarabangsa.
Pencapaian ini menjadi pembakar semangat saya untuk terus berkarya. Saya juga berharap agar stesen radio tempatan lebih bersikap terbuka dengan memutarkan lagu-lagu Inggeris tempatan kerana kualitinya setanding dengan lagu-lagu Inggeris antarabangsa.
Sekadar info, Rayme pernah menjadi juara pertandingan dalam talian anjuran Sajakiri Musicdab dan menyertai program All Together Now Malaysia musim pertama.
Rayme kemudiannya mula menjadi sebutan ramai dan sering disamakan dengan wajah penyanyi dan pengacara kelahiran Singapura, Roslan Shah.