Kalau selama ini kita selalu dengar produk luar masuk Malaysia tapi kali ini ceritanya berbeza sikit.
Produk tempatan, dari snek sampai makanan tradisional kini mula menempa nama di Jepun, antara pasaran yang terkenal dengan standard tinggi dan citarasa yang sangat teliti.
Menerusi penyertaan di FOODEX Japan 2026, beberapa koperasi Malaysia tampil membawa produk masing-masing dengan satu misi jelas iaitu nak lihat sejauh mana produk lokal boleh pergi di pentas global.
Dan jawapannya? Lebih daripada sekadar ‘boleh cuba’.
Jepun bukan market biasa, tapi di sinilah ‘real test’ bermula
Berbeza dengan pasaran lain, Jepun bukan sekadar menilai rasa.
Pembungkusan kena menarik, kualiti kena konsisten, dan paling penting, produk mesti ada identiti yang kuat.
Sebab itu, FOODEX Japan sering dianggap sebagai ‘test market’ sebenar untuk mana-mana jenama yang nak pergi lebih jauh.
Kalau lepas di sini, peluang untuk tembus pasaran lain terbuka lebih luas.
Tembusi Jepun bukan mudah, tapi ini realiti di sebalik usaha koperasi Malaysia
Menembusi pasaran Jepun bukan sekadar soal membawa produk ke luar negara.
Sebaliknya, ia melibatkan pemilihan produk yang teliti, pemahaman terhadap citarasa pengguna serta keupayaan membina rangkaian dengan pemain industri di sana.
Bagi Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH Selangor), hanya produk yang benar-benar bersedia dipilih daripada ribuan produk usahawan di bawah mereka.
“Daripada hampir 6,000 SKU produk usahawan, kami hanya memilih 28 produk yang benar-benar memenuhi keperluan pasaran eksport untuk dibawa ke FOODEX Japan.” ujar Dato’ Dr. Mohammad Syukri bin Ismail, pengurus besar KOHIJRAH Selangor.

Menurut beliau, produk seperti muruku cheese pelbagai perisa serta makanan sejuk beku seperti batang pinang dan rendang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengimport dan pengedar antarabangsa, termasuk dari Jepun, Turki dan Filipina.
Malah, penyertaan ini turut membuka peluang kerjasama baharu apabila mereka berjaya berhubung dengan 21 syarikat pengedar di Jepun, dengan potensi nilai mencecah sekitar RM3.33 juta.

Pendekatan berbeza pula dibawa oleh Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad yang mengetengahkan produk coklat premium berkonsepkan ‘single origin.
“Setiap keping coklat kami dihasilkan 100% daripada biji koko bermutu tinggi yang ditanam sendiri oleh petani tempatan di Sarawak.” ujar Fathul Ikhwan bin Narawi, Eksekutif Kewangan Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad.
Menurut beliau, pengguna di Jepun sangat menghargai produk yang mempunyai identiti jelas serta nilai etika dalam penghasilan, termasuk konsep bean-to-bar dan sumber bahan mentah.
Faktor ini menjadikan produk mereka lebih mudah diterima, dengan ramai pengunjung tertarik kepada keaslian rasa serta kualiti premium yang ditawarkan.
Walaupun berdepan cabaran seperti kapasiti pengeluaran dan logistik, penyertaan ini tetap membuka peluang apabila koperasi berjaya menarik minat beberapa pengimport dari Jepun, sekaligus menjadi titik permulaan kepada potensi eksport jangka panjang.

Koperasi Kakitangan Bernas Berhad pula membawa pendekatan yang lebih praktikal, selari dengan gaya hidup moden.
“Kami membawa bubur nasi segera yang mudah disediakan, sesuai untuk gaya hidup cepat tetapi masih mengekalkan rasa tradisional.” ujar Muhammad Azim bin Zabmir, pegawai pemasaran Koperasi Kakitangan Bernas Berhad.
Produk ini ditawarkan dalam enam perisa seperti Oden, Bonito, kari Nyonya, ayam, cendawan dan sayur-sayuran, selain minuman beras perang, barli dan kacang dal segera.
Menurut beliau, walaupun pasaran Jepun sangat teliti dari segi kualiti dan pembungkusan, reaksi yang diterima setakat ini sangat positif.
Ramai pengunjung tertarik dengan konsep makanan segera yang sihat dan mudah disediakan, satu trend yang semakin mendapat tempat di peringkat global.
Namun, untuk menembusi pasaran ini, koperasi perlu melakukan penyesuaian terutama dari segi pembungkusan dan maklumat produk agar lebih menepati standard Jepun.
Dari segi peluang pula, penyertaan ini membuka ruang kepada beberapa perbincangan dengan pembeli berpotensi, sekali gus memberi keyakinan untuk terus meneroka pasaran antarabangsa selepas ini.
Secara keseluruhan, penyertaan ini membuktikan bahawa produk koperasi Malaysia bukan sahaja mampu menarik perhatian, malah berpotensi untuk berkembang lebih jauh jika strategi dan persediaan dilakukan dengan betul.
Pasaran Jepun: tinggi standard, tinggi potensi
Apa yang jelas, pasaran Jepun bukan mudah untuk ditembusi.
Selain standard kualiti yang tinggi, aspek seperti pembungkusan, konsistensi bekalan dan kepercayaan pengguna memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan sesuatu produk.
Namun dalam masa sama, jika berjaya menembusi pasaran ini, ia memberi nilai tambah yang besar kepada jenama, bukan sahaja dari segi kredibiliti, tetapi juga peluang untuk berkembang ke pasaran lain.

Selari dengan usaha ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’
Penyertaan koperasi di FOODEX Japan 2026 ini juga selari dengan inisiatif ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Inisiatif ini memberi fokus kepada usaha memperkasakan perusahaan tempatan agar lebih berdaya saing, termasuk membantu mereka menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam konteks ini, penyertaan di platform global seperti FOODEX Japan menjadi antara langkah strategik untuk memperkenalkan produk tempatan ke pentas dunia serta membuka peluang eksport yang lebih luas.
SKM jadi ‘backbone’, bantu koperasi pergi lebih jauh
Di sebalik kejayaan ini, peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dilihat sebagai antara faktor penting yang membantu koperasi ‘naik level’.
Daripada membuka peluang penyertaan di ekspo antarabangsa hingga membantu dari segi persediaan produk, SKM menjadi pemudah cara kepada koperasi untuk melangkah keluar dari pasaran tempatan.
Sokongan ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada koperasi, tetapi juga mempercepatkan proses mereka untuk bersaing di peringkat global.
Dulu underdog, sekarang mula menyerlah di pentas global
Kalau dulu koperasi sering dipandang sebagai pemain kecil, hari ini naratif itu semakin berubah.
Dengan produk yang semakin berkualiti, strategi yang lebih tersusun dan sokongan agensi yang kukuh, koperasi Malaysia kini berada di landasan tepat untuk berkembang sebagai pemain global dalam industri F&B.
Dan jika momentum ini berterusan, tidak mustahil lebih banyak produk tempatan akan menembusi pasaran antarabangsa, bukan sekadar di Jepun, tetapi ke seluruh dunia.
The post Produk Malaysia Tembus Jepun? 3 Koperasi Ini Buktikan Boleh ‘Masuk’ Pasaran Paling Cerewet Di Dunia first appeared on OHBULAN!.





