Penyanyi Pija Yasin mengambil keputusan untuk berhijab sejak empat bulan lalu.
Pija Mentor dah berhijab

Ketika ditemui , Pija atau nama lengkapnya Norafizah Mohd. Yasin, 38, mengakui sudah lama menyimpan niat untuk berhijab sebelum usia 40 tahun, namun tidak menyangka Allah SWT mempermudahkan urusannya lebih awal.
Alhamdulillah saya dah bertudung sejak empat bulan lalu. Sebelum ini ada perkara mistik yang terjadi kepada saya dan sebenarnya pernah juga berniat untuk berhijab.
Memang dari saya muda dulu dah niat sebelum umur 40 tahun nak berhijab, tapi Allah kirimkan hidayah lebih awal.
Bercerita lanjut, juara Mentor musim pertama ini mendedahkan pernah melalui fasa sukar apabila mengalami gangguan mistik sehingga menjejaskan kesihatan dan rutin hariannya.
Saya sakit dan saya memang tiada anxiety atau kemurungan. Tak pernah alami kejadian itu seumur hidup. Tiga malam berturut-turut saya tak boleh makan, tidur dan mimpi buruk. Saya ada ada alami sesak nafas.
Tapi saya minta pertolongan daripada Allah, itu sahaja yang kita mampu buat. Saya lawan dengan solat tahajud, doa.
Saya pun berubat sendiri sebab memang pernah belajar juga dengan arwah ayah. Selepas itu saya tak tahan saya telefon abang ipar saya.
Pija berkata demikian ketika ditemui di Majlis Hari Raya Suria Records yang berlangsung di Rumah Abang Jamil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Alami gangguan mistik

Mengimbas kembali detik mencemaskan itu, Pija berkata dia pernah melihat imej dirinya di cermin dalam keadaan yang menakutkan.
Katanya lagi, dia turut bermimpi didatangi gangguan serta menerima mesej daripada arwah ibu bapanya bahawa dirinya dipercayai terkena gangguan.
Ketika itu, saya tengok muka saya dalam cermin macam nenek kebayan. Selepas dia berubat, barulah badan saya ringan dan terus menangis.
Benda itu memberi saya mesej sampai saya berubat dan dapat jawapan. Saya mimpi ada jin muncul dan arwah mak serta ayah saya beritahu saya memang ‘dibuat’.
Buatan tersebut salah satunya sebab penyakit ain, kemudian mungkin semasa saya kahwin dahulu dan ada orang terlampau suka dekat saya, wallahualam.
Saya risau kalau beritahu orang tak akan percaya tapi saya yang alami benda itu. Saya sahaja yang tahu. Kadangkala benda ini juga boleh jadi pengajaran kepada sesiapa sahaja. Kita perlu ada pendinding, baca doa.
Selepas menjalani rawatan, Pija berkata keadaannya semakin pulih dan kini lebih tenang, bersemangat serta kembali fokus dalam menjalani kehidupan harian.
Katanya lagi, pengalaman yang dilalui itu banyak mengubah dirinya menjadi lebih berhati-hati, selain mendekatkan dirinya kepada Tuhan.
The post Pija Yasin Kini Berhijab, Dedah Pernah Alami Gangguan Mistik – ‘Muka Saya Dalam Cermin Macam Nenek Kebayan’ first appeared on OHBULAN!.





