
Penerbit filem Misteri Fraser 1910, Millionaire Films Production Sdn. Bhd menuntut permohonan maaf daripada pengarah filem tersebut, Shuhaimi Zulkefli atas kenyataan berunsur fitnah yang telah dikeluarkan.
Saman pemfitnah

Dalam satu kenyataan, penerbit filem tersebut, Kapten Bers. (PA) Amai Kamarudin dan Elani Aidid, menjelaskan bahawa tuntutan itu berkaitan dengan dakwaan di media sosial yang menuduh syarikat mereka gagal membayar gaji kru, sehingga menyebabkan filem berkenaan disekat daripada tayangan.
Kami mahu Shuhaimi menarik balik secara terbuka dan membuat permohonan maaf bertulis dalam bentuk yang diluluskan oleh kami, yang hendaklah disiarkan di platform media sosial yang sama memadam hantaran asal dan mana-mana hantaran berkaitan, termasuk sebarang komen tambahan atau balasan komen yang merujuk kepada kami.
Selain itu, kami mahu Shuhaimi memberikan akuan bertulis untuk tidak akan mengulangi atau menyebarkan sebarang kenyataan yang berunsur fitnah serta membayar ganti rugi dan kos guaman yang telah ditanggung.
Pada atau sekitar 23 Mac 2025, Shuhaimi dilaporkan telah berkongsi pautan artikel bertajuk “Produksi Culas Bayar Gaji Kru dan Pelakon, Filem Disekat Tayangan” menerusi akaun media sosial miliknya.
Dalam ruangan komen pautan artikel tersebut, seorang individu bernama Amir Muhammad bertanya, “Alamak, filem Fraser tu?” dan Shuhaimi membalas, “Amir Muhammad, ya bang.”
‘Undang-undang saja dapat mengembalikan maruah kami’

Sehubungan itu, pihak penerbit menegaskan sekiranya Shuhaimi gagal untuk memberikan sebarang maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tempoh surat tuntutan dihantar, mereka berhak memulakan tindakan undang-undang tanpa notis lanjut.
Kos gantirugi minima yang akan kami mohon di Mahkamah Tinggi adalah RM1 Juta, mengambil kira kos pembikinan filem kami, pasca produksi, pengedaran dan pemasaran yang terjejas setelah fitnah Shuhaimi diterbitkan.
Untuk makluman semua melalui surat rasmi dari Skim Wajib Tayang Finas, filem kami bergenre sejarah fiksyen “Misteri Fraser 1910” yang diinspirasikan dari Kisah Benar peneroka Fraser Hill yang hilang telah mendapat tarikh tayangan di pawagam pada 26 Jun 2025.
Oleh itu, dakwaan Shuhaimi bahawa filem mereka disekat daripada tayangan akibat kegagalan produksi membayar gaji kru dan pelakon adalah tidak benar dan berunsur fitnah semata-mata.
Tuntutan ini dibuat bukanlah kerana ingin mengejar pampasan berbentuk wang tetapi lebih kepada membersihkan nama baik produksi yang tercalar sejak fitnah ini dibuat. Kami menganggap hanya dengan prinsip Undang-undang saja dapat mengembalikan maruah kami yang hilang.
Difahamkan ini adalah filem pertama yang Shuhaimi arah melalui pemilihan produksi yang mendapat Dana Kandungan Kreatif (FAME) First Time Amateur Filmmaker yang dibiayai oleh FINAS pada Oktober 2023 dan telah tutup projek pada Februari 2025.





