Pelakon, Datuk Mustapha Kamal mengakui tidak menang tangan membalas komen dan melayan gelagat wargamaya yang masih bercakap tentang karakter ‘Papa Megah Holding’ yang pernah dimainkannya dalam drama.
Artikel Berkaitan: ‘Perniagaan Papa Nampaknya Makin Kukuh’ – Reaksi Lucu Netizen Bila Mustapha Kamal Dianugerah Datuk
‘Papa Megah Holding’

Mustapha, 64, berkata, rata-rata pengikutnya sering berseloroh mahu menjadi anak kepada watak figura usahawan berjaya itu.
Saya sendiri tidak percaya dengan penerimaan netizen. Bukan sahaja golongan muda, malah mereka yang dewasa turut sama.
Mereka menganggap ‘Megah Holdings’ sebahagian daripada kehidupan harian sehingga terbawa-bawa dalam pergaulan.
Sejujurnya, saya tidak pernah berniat untuk mencetuskan fenomena di Threads. Namun, apabila perkara ini berlaku, saya ikutkan sahaja. Saya terpaksa melayan dan membalas setiap komen kerana mereka begitu teruja.
Mustapha berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tribute Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara bersama Datuk Yusof Haslam dan Noor Kumalasari bersempena Festival Filem Malaysia ke-25 yang berlangsung di FINAS, Ulu Klang, pada Khamis.
Berkongsi pengalaman berinteraksi dengan peminat di alam maya, Mustapha berkata dia kini mempunyai ‘anak’ yang begitu ramai, malah ada antara mereka yang turut meminta nasihat berkaitan perniagaan.
Lucunya, pelakon itu mengakui terpaksa merujuk Google bagi memahami istilah perniagaan tertentu yang diajukan pengikutnya sebelum memberikan jawapan bersesuaian.
Kadang mereka tanya soalan serius mengenai perniagaan. Saya sendiri perlu cari maksud istilah berkenaan di Google supaya dapat memberikan jawapan tepat. Jadi, secara tidak langsung, ia menjadi satu tugas pula buat saya.
Biasanya, saya akan meluangkan masa membalas pertanyaan dan melayan usikan mereka selepas selesai menunaikan solat Subuh. Itulah waktu yang saya ada untuk melayan ‘anak-anak’ saya ini.
The post Mustapha Kamal Dedah Ramai Netizen DM Nak Jadi Anak ‘Papa Megah Holding’ first appeared on OHBULAN!.





