Meskipun rezeki dilihat akan melimpah selepas dinobatkan sebagai juara Kilauan Emas 2025, Mazleen Abu Bakar tidak berhasrat meninggalkan kerjaya tetapnya sebagai penyanyi Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).
Artikel Berkaitan: 7 Sebab Kenapa Wak Mustar, Juara Kilauan Emas 5 Diminati Ramai
Terus berkhidmat

Mazleen, 45, berkata, kerjaya bersama pasukan pancaragam itu sudah sebati dalam dirinya dan akan terus menjadi keutamaan walaupun selepas ini akan melangkah masuk ke industri muzik tanah air.
Saya tidak terfikir untuk meninggalkan Pancaragam Askar Timbalan Setia Johor, kerana itu merupakan kerja hakiki yang sangat saya sayang.
Saya kan terus berkhidmat untuk pancaragam tersebut. Lagi pula tugas saya hanya melibatkan tetamu terhormat (VVIP).
Jika ada tawaran persembahan sebagai penyanyi selepas ini saya akan berkomunikasi dengan pihak jabatan dan dapatkan nasihat.
Mazleen berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media konsert akhir Kilauan Emas 2025 yang berlangsung di Shah Alam, pada Ahad.
Mengulas mengenai kejuaraannya, Mazleen yang berasal dari Kluang, Johor berkata, kemenangan tersebut menjadi satu anugerah besar buat dirinya selepas sekian lama menyimpan impian untuk menjadi penyanyi profesional.
Menjadi penyanyi merupakan impian saya sejak kecil dan akhirnya rezeki itu tiba juga. Ini juga impian bapa saya yang pernah mengajak saya menyertai kugiran sejak usia sembilan tahun.
Dengan kemenangan itu, Mazleen membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan pakej percutian.
Ketika ditanya mengenai perancangan wang kemenangan tersebut, Mazleen mengakui masih belum memikirkannya.
Dalam masa sama, Mazleen turut mendedahkan sudah menerima beberapa tawaran daripada komposer tempatan yang berminat untuk menghasilkan lagu buatnya.
Saya sangat teruja kerana bakat saya mula mendapat perhatian. Sudah ada beberapa komposer yang hubungi saya dan ingin berikan lagu. Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu.
The post Mazleen Masih Terus Kerjaya Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Sudah ‘Dilamar’ Komposer Untuk Buat Lagu first appeared on OHBULAN!.