
Selepas menerima permohonan maaf daripada pempengaruh sensasi, Imran Bard, pelakon Ellie Suriaty memberi respons mengatakan dirinya bakal mengadakan pertemuan empat mata bersama Imran.
Bakal bertemu empat mata

Menerusi Instagram Stories (IGs), Ellie atau nama lengkapnya Ellie Suriaty Omar berkata pertemuan tersebut akan menjadi penentu sama ada dia akan meneruskan saman atau sebaliknya.
Kata Ellie, pihaknya telah memberi maklum balas terhadap Imran beberapa hari sebelum menyambut Ramadan.
Saya bersetuju dengan permintaannya untuk berjumpa. Namun menurutnya dia kini masih berada di kampung halamannya.
Saya memahami itu, insya-Allah perjumpaan akan diadakan sekembalinya dia ke Kuala Lumpur kelak.
Namun saya ingin tegaskan bahawa sesi pertemuan ini akan menjadi penentu sama ada saya akan meneruskan proses saman atau sebaliknya.
Pelakon berusia 54 tahun itu berkata tindakan itu bergantung kepada tahap keikhlasan yang ditunjukkan oleh Imran.
Bergantung kepada keikhlasan dan ketulusan permohonan maaf daripadanya kepada saya.
Saya berharap agar Allah mempermudahkan segalanya. Terima kasih atas segala sokongan, keprihatinan serta doa daripada kalian semua. Jaga adab.
Persengketaan Imran dan Ellie

Sebelum ini, hangat di media sosial apabila aktres tersebut mendakwa Imran sudah mencalarkan namanya menerusi dua hantaran di TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.
Susulan itu, Ellie menuntut permohonan maaf daripada Imran termasuk ibu bapa pempengaruh itu.
Mengakui kekhilafannya kerana telah menyinggung perasaan Ellie, Imran akhirnya membuat permohonan maaf selepas dikecam orang ramai.





