30.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 6, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Cintakan Negara Bukan Sekadar Kibar Bendera! Jessica MJ Mahu Anak Muda Bawa Nama Malaysia Lebih Jauh

    Shopee Sale

    Ada banyak cara untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara. Ada yang memilih untuk berkhidmat, ada yang mengangkat budaya, ada yang mencipta karya, manakala sebahagian lain menyumbang dengan membina sesuatu yang akhirnya membuka ruang kepada orang lain.

    Bagi pempengaruh Jessica MJ, semangat cintakan negara tidak seharusnya hanya muncul ketika bulan kemerdekaan, Hari Malaysia atau diterjemahkan melalui kata-kata semata-mata.

    ARTIKEL BERKAITAN: 69 Tahun Merdeka, Apa Yang Membuatkan Sesebuah Lagu Kedengaran ‘Bunyi Malaysia’?

    Semangat Cintakan Negara Datang Dari Hati

    Sebaliknya, semangat itu boleh bermula daripada sesuatu yang lebih dekat dengan kehidupan seharian iaitu keberanian untuk memperbaiki diri, bekerja keras, mencipta peluang dan akhirnya memberikan kembali kepada masyarakat.

    Pada usia 32 tahun, anak jati Kota Marudu, Sabah itu sudah melalui lebih sedekad perjalanan dalam dunia perniagaan.

    Hari ini, ramai mengenalinya menerusi media sosial sebagai pempengaruh dan pengasas jenama kecantikan Jesskin.

    Namun di sebalik paparan kejayaan yang dilihat hari ini, perjalanan Jessica sebenarnya bermula jauh lebih sederhana.

    Tidak ada modal besar, tidak ada laluan yang tersedia dan tidak ada kejayaan yang berlaku dalam satu malam.

    Apa yang ada hanyalah keinginan seorang wanita muda untuk berdikari dan membina kehidupan dengan usahanya sendiri.

    Cinta Negara Juga Bermaksud Berusaha Jadi Lebih Baik

    Bagi Jessica, generasi muda hari ini hidup dalam zaman yang penuh peluang. Teknologi, media sosial dan dunia tanpa sempadan memberikan anak muda ruang yang jauh lebih luas untuk mencuba sesuatu, membina jenama sendiri atau membawa bakat mereka ke peringkat yang mungkin sukar dibayangkan oleh generasi terdahulu.

    Namun peluang itu, katanya, perlu dimanfaatkan dengan usaha dan disiplin. Jessica percaya mencintai negara juga bermaksud mempunyai keinginan untuk melihat diri sendiri, masyarakat dan akhirnya negara terus bergerak ke hadapan.

    Anak muda tidak perlu menunggu sehingga mempunyai kedudukan besar sebelum mula menyumbang.

    Kadangkala, sumbangan itu bermula dengan perkara yang cukup sederhana seperti mencipta pekerjaan, membantu keluarga, membina perniagaan kecil, berkongsi ilmu atau menjadi individu yang memberi manfaat kepada orang di sekeliling.

    Semangat itulah yang cuba dibawa Jessica menerusi perjalanan hidupnya sendiri. Daripada seorang anak muda yang bermula tanpa modal, dia mahu kisah tersebut menjadi peringatan bahawa latar belakang seseorang tidak seharusnya menentukan sejauh mana mereka boleh pergi.

    Bina Empayar Sendiri

    Sifat berdikari Jessica mula terbentuk sejak di bangku sekolah. Selepas tamat persekolahan, langkah pertamanya dalam dunia perniagaan bukanlah menerusi sebuah syarikat besar atau pelaburan bernilai tinggi.

    Dia bermula dengan menjual kanta lekap, produk yang ketika itu turut digunakannya sendiri.

    Sedikit demi sedikit, hasil jualan dikumpulkan sebagai modal sebelum Jessica memberanikan diri menceburi perniagaan produk kecantikan daripada jenama antarabangsa.

    Pasarannya ketika itu banyak tertumpu di Sabah sebelum perlahan-lahan berkembang ke beberapa lokasi lain di Malaysia. Perjalanan tersebut memberikan Jessica satu pelajaran penting tentang perniagaan.

    Baginya, keuntungan tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran kejayaan. Kepercayaan pengguna dan keyakinan terhadap produk yang dijual perlu datang terlebih dahulu.

    “Saya tidak tergamak menjual produk yang saya sendiri kurang yakin dan tidak percayai. Itulah prinsip paling penting untuk saya dalam perniagaan.

    “Bagi yang baru kenal saya, mungkin mereka nampak kejayaan yang dikecap sekarang berlaku sekelip mata. Hakikatnya, saya bermula dari modal kosong dan perlahan-lahan belajar mencari keuntungan,” katanya.

    Prinsip itu akhirnya membawa Jessica kepada satu keputusan yang lebih besar. Selepas lebih 10 tahun memahami pasaran kecantikan, pada 2023 dia melancarkan jenamanya sendiri.

    Pengaruh Bukan Sekadar Angka Pengikut

    Dalam era media sosial, istilah pempengaruh sering dikaitkan dengan jumlah pengikut, kandungan viral atau gaya hidup yang dipamerkan.

    Namun Jessica mahu pengaruh yang dimilikinya membawa makna lebih besar. Baginya, platform media sosial memberi peluang untuk seseorang bukan sahaja memperkenalkan produk, tetapi turut berkongsi pengalaman dan membuka mata orang lain bahawa kejayaan boleh dibina daripada bawah.

    Sebagai seorang wanita yang melalui sendiri proses mencari modal, memahami pasaran dan membangunkan produk, Jessica mahu lebih ramai wanita melihat bahawa mereka juga mampu mencipta sumber pendapatan sendiri.

    “Misi saya dari dulu tidak lain untuk membantu ramai wanita di luar sana dalam perniagaan. Saya percaya inilah sumbangan yang perlu saya kongsikan dan bukan semata-mata untuk kejayaan diri sendiri sahaja,” katanya.

    Apabila jenamanya mula berkembang, peluang itu turut terbuka kepada wanita lain yang mahu menjadi ejen dan jurujual.

    MENARIK:  ‘Kalau Saya Makikan Akak Janna Nick Hari Ni 20 Kali, Boleh Lepaskan Saya Tak?’ – Puteri Balqis

    Dan di situlah Jessica melihat sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar angka jualan. Sebuah jenama yang pada mulanya dibina untuk memenuhi impiannya sendiri kini perlahan-lahan menjadi ruang yang membolehkan orang lain turut menjana pendapatan.

    Dari Sabah, Mahu Bawa Nama Malaysia Lebih Jauh

    Jessica juga tidak pernah malu meletakkan identitinya sebagai anak Sabah di hadapan. Walaupun perjalanan perniagaannya semakin berkembang, negeri kelahirannya terus menjadi sebahagian besar daripada kisah yang dibawa.

    Sejak kebelakangan ini, Jessica turut menerima pelbagai jemputan untuk menghadiri acara, termasuk program berkaitan kebudayaan, perkongsian pengalaman dan keusahawanan.

    Setiap ruang itu dimanfaatkan bukan sahaja untuk memperkenalkan Jesskin, tetapi juga mendekati masyarakat yang selama ini menyokong perjalanannya.

    Pada masa sama, cita-citanya tidak berhenti di Malaysia. Selepas mendapat sambutan di Sabah dan Semenanjung, Jesskin mula menerima permintaan daripada Australia, Filipina, Vietnam serta beberapa negara Asia Tenggara.

    Bagi Jessica, perkembangan itu memberikan makna tersendiri. Apabila sesuatu yang dibina oleh anak tempatan mula diterima di luar negara, ia bukan lagi sekadar pencapaian peribadi. Ia menjadi bukti bahawa produk, idea dan usaha rakyat Malaysia juga mempunyai ruang untuk berdiri bersama jenama antarabangsa.

    Di sebalik perkembangannya, Jesskin tidak dibangunkan dalam keadaan tergesa-gesa. Jessica mengambil masa sekitar tiga tahun untuk mendapatkan formula yang benar-benar menepati piawaiannya sendiri.

    “Inilah yang saya impikan sejak mencipta jenama sendiri beberapa tahun lalu. Tiga tahun juga saya berbolak-balik mendapatkan formula yang paling sempurna kerana saya sendiri mahu menggunakan produk itu,” katanya.

    Jangan Hanya Jadi Penonton Kepada Kemajuan

    Perjalanan Jessica juga membawa kepada satu mesej yang mahu diketengahkan kepada generasi muda. Kemajuan negara akhirnya tidak hanya bergantung kepada satu pihak.

    Anak muda sendiri mempunyai peranan dalam menentukan sejauh mana mereka mahu bergerak dan apa yang boleh mereka sumbangkan.

    Dalam dunia yang semakin kompetitif, generasi muda tidak boleh sekadar menjadi penonton kepada perubahan.

    Mereka perlu berani belajar, mencuba, gagal dan bangkit semula. Rasa sayang kepada negara tidak semestinya perlu diterjemahkan melalui perkara yang besar.

    Bagi Jessica, apabila seorang anak muda bersungguh-sungguh mengejar pendidikan, membina perniagaan, menghasilkan karya, mencipta pekerjaan atau membawa nama Malaysia ke luar negara, itu juga satu bentuk sumbangan.

    Lebih penting, kejayaan tidak seharusnya berhenti pada diri sendiri. Apabila sudah mempunyai kemampuan dan pengaruh, ada tanggungjawab untuk membuka ruang kepada orang lain pula.

    Jessica sedar empayarnya sedang membesar. Selepas memperkenalkan serum, dia kini merancang mengembangkan rangkaian produknya menerusi toner, pelembap, pelindung matahari dan sleeping mask.

    Namun sasaran Jessica bukan sekadar untuk menambah jumlah produk di pasaran. Dia mahu membina sebuah jenama tempatan yang mempunyai kekuatan untuk berdiri lebih jauh di pentas antarabangsa.

    Pada masa sama, sebagai pempengaruh, Jessica mahu platform yang dimiliki terus digunakan untuk menyuntik keyakinan kepada wanita dan generasi muda bahawa setiap orang boleh bermula walaupun tidak mempunyai kelebihan yang besar.

    Daripada menjual kanta lekap dengan modal yang sedikit kepada membina jenama sendiri, perjalanan Jessica mungkin masih jauh daripada selesai. Tetapi mungkin di situlah makna sebenar kemajuan.

    Bukan tentang siapa yang paling pantas sampai, tetapi siapa yang tidak berhenti berjalan dan dalam perjalanannya, turut membuka jalan untuk orang lain.

    Kerana pada akhirnya, mencintai negara bukan sekadar berbangga dengan apa yang Malaysia sudah capai, tetapi turut bertanya kepada diri sendiri, apa pula yang boleh kita lakukan untuk membawanya lebih jauh.

    The post Cintakan Negara Bukan Sekadar Kibar Bendera! Jessica MJ Mahu Anak Muda Bawa Nama Malaysia Lebih Jauh first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah