
Kekal tenang dan tidak mudah melatah, pelakon Faizal Hussein mengakui tidak kisah apabila lakonannya dalam drama Bidaah yang mengisahkan ajaran sesat mendapat kecaman hebat netizen.
Dikecam

Faizal atau nama lengkap Mohd Faizal Hussein, 57, berkata, dia hanya menyajikan watak bernama Abuya mengikut tuntutan skrip dan arahan pengarah naskhah tersebut, Pali Yahya.
Memang drama itu tengah tular sekarang. Telefon saya tidak henti-henti menerima notfikasi. Tapi saya tak pernah anggap itu satu tekanan pun. Sebelum buat kerja lagi saya dah boleh tahu pasti akan jadi seperti ini (tular).
Lebih-lebih lagi membabitkan babak yang saya dan Vanidah Imran lakonkan. Memang akan tular, tapi tular yang sihat. Anak-anak tidak juga tertekan dan tidak peduli. Mereka dah faham.
Faizal berkata demikian ketika ditemui di sidang media dan tayangan perdana Astro Raya 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di Bandar Utama, Selangor, baru-baru ini.
Babak kontroversi

Mengulas mengenai beberapa babak kontroversi seperti dagu disuap menggunakan kaki dan cium tapak kaki, Faizal menjawab adegan itu menggunakan teknik helah kamera.
Macam babak kaki Vanidah sentuh janggut saya. Kami sebenarnya tak bersentuhan pun kerana itu adalah janggut palsu. Untuk babak intim pula pengarah banyak bermain dengan kaedah artistik.
Untuk babak orang cium kaki serta minum air basuhan kaki, itu lebih kepada teknik helah kamera. Saya menghormati Erma sebagai penulis dan apa yang ditunjukkan itu adalah diangkat dari kisah besar.
Tak perlulah saya nak bercakap lebih lanjut. Dalam siri drama yang menyesatkan dalam Malaysia ini. drama inilah paling dekat dengan realiti sebab saya rasa babak-babak yang ada dalam siri ini memang berdasarkan kisah benar.
Selain Faizal, drama untuk siaran Viu itu turut menampilkan lakonan Fattah Amin, Riena Diana, Vanidah Imran, Marisa Yasmin, Hasnul Rahmat, Fazlina Ahmad Daud, Fatiya Latiff dan ramai lagi.





