26.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Artis Patut Ikut Trend Atau Cipta Trend Sendiri? 5 Risiko Bila Terlalu Mengejar Apa Yang Viral

    Shopee Sale

    Dalam era trend di TikTok, Reels dan Shorts, kejayaan sesebuah lagu kadangkala boleh bermula hanya dengan beberapa saat.

    Laporan TikTok bersama Luminate mendapati 84 peratus lagu yang memasuki Billboard Global 200 sepanjang 2024 terlebih dahulu melalui tempoh engagement tinggi atau viral di TikTok. Data itu menunjukkan betapa besarnya peranan platform video pendek dalam penemuan muzik hari ini.

    Malaysia juga tidak terkecuali. Daripada Alamak Raya Lagi oleh De Fam, Angkat oleh Mimi Fly sehinggalah Cak Cak Cekuk nyanyian Wani Kayrie, media sosial kini boleh membantu sesebuah karya bergerak jauh lebih pantas daripada kaedah promosi tradisional.

    Namun apabila hampir semua orang mahu masuk FYP, timbul persoalan lain, perlukah artis sentiasa mengejar trend atau lebih penting mencipta identiti sehingga orang lain pula mahu mengikut mereka?

    Artikel Berkaitan: Trending Hari Ini, Dilupa Esok? Bila Lagu ‘Viral’ Jadi Mata Wang Baharu Industri Hiburan, Adakah Nilai Sebenar Karya Semakin Dilupakan?

    Artikel Berkaitan: 10 Lagu Tapi Cuma Satu Yang Viral, Masih Berbaloi Buat Album? 7 Realiti Penyanyi Era Streaming

    Lima Risiko Apabila Terlalu Mengejar Perkara Viral

    1. Terlalu ikut trend, identiti artis boleh semakin kabur

    Trend muzik sentiasa berubah. Hari ini mungkin retro, esok dangdut, kemudian datang pula pop tradisional, sped-up version atau bunyi yang dianggap mesra TikTok. Tidak salah mencuba sesuatu yang baharu. Masalahnya timbul apabila seseorang artis terlalu kerap mengubah arah semata-mata kerana mahu menyesuaikan diri dengan apa yang sedang popular.

    Penyanyi, Aina Abdul menunjukkan contoh menarik bagaimana seseorang artis boleh menyesuaikan diri tanpa meninggalkan identitinya. Ketika memperkenalkan Berjauh-an dan Sadis pada Jun 2026, Aina berkata karya baharunya sengaja dibuat lebih mudah didekati pendengar muda, tetapi masih mengekalkan kekuatan vokal serta emotional storytelling yang sinonim dengan dirinya. Malah, dia menegaskan bahawa dia tidak mahu meninggalkan ‘DNA’ muziknya.

    Pendekatan itu mungkin menjadi perbezaan antara mengikuti perkembangan muzik dengan sekadar mengikuti apa sahaja yang sedang viral. Artis boleh berubah mengikut zaman, tetapi pendengar masih perlu tahu apa yang membuatkan mereka berbeza.

    Sumber: Bernama, Malay Mail,

    2. Viral hari ini belum tentu boleh diulang esok

    Antara masalah terbesar budaya viral ialah ia sukar diramal. Contoh paling jelas ialah Alamak Raya Lagi nyanyian De Fam. Lagu tersebut bukan sahaja popular di Malaysia pada Aidilfitri 2024, malah dance challenge-nya turut sampai ke luar negara termasuk disertai kumpulan K-pop TRI.BE dan kumpulan tarian Jepun AvantGardey. Muzik videonya pula menghampiri 50 juta tontonan di YouTube ketika Malay Mail menemu bual kumpulan itu setahun kemudian.

    Namun pencipta lagunya sendiri mengakui kejayaan tersebut sukar direplikasi dengan formula yang sama. Malah selepas Alamak Raya Lagi, permintaan turut muncul daripada pihak yang mahukan lagu Raya yang mempunyai karakter hampir serupa.

    Di sinilah bahayanya. Apabila sesuatu formula berjaya, mudah untuk industri cuba mengulanginya. Tetapi apa yang viral tahun lalu belum tentu mempunyai kesan sama tahun berikutnya.

    Kajian terhadap 27 pencipta muzik yang diterbitkan dalam Social Media + Society turut mendapati jangka hayat fenomena viral di platform video pendek semakin singkat, menyebabkan ramai pencipta mula menilai semula kebergantungan mereka terhadap trend.

    Sumber: Malay Mail, Social Media + Society,

    3. Orang kenal lagu, tetapi tidak kenal artis

    Era TikTok menghasilkan satu situasi yang agak pelik. Seseorang mungkin mendengar lagu yang sama puluhan kali tetapi tidak tahu siapa penyanyinya.

    Kajian The Limits of Virality menjelaskan format For You Page (FYP) serta penggunaan semula viral sound boleh menyukarkan pencipta membina hubungan jangka panjang dengan pendengar jika identiti artis tidak cukup kuat untuk bergerak bersama karya tersebut.

    Sebab itu Angkat oleh Mimi Fly menjadi contoh tempatan yang menarik. Bukan hanya lagunya yang mendapat perhatian, karya tersebut mempunyai gerakan tangan tersendiri yang mengetengahkan bahasa isyarat serta membawa elemen budaya Melayu dan Iban.

    MENARIK:  [VIDEO] Hafiz Mahamad & Syafiqah Aina Beri Staff Bonus Tiga Bulan Gaji, dan Tiket Umrah Sebagai Hadiah

    RTM melaporkan lagu berkenaan tular di YouTube sebelum pasukannya sempat melalui proses biasa menghantarnya ke stesen radio, dengan lebih 1.5 juta tontonan dikumpulkan dalam tempoh kurang sebulan.

    Dalam kes ini, elemen viral mempunyai hubungan jelas dengan identiti visual dan konsep karya Mimi, bukannya sekadar sound rawak yang digunakan pengguna.

    Itulah yang perlu dicari artis, bukan hanya membuatkan orang berkata ‘aku kenal lagu ni’, tetapi juga ‘aku tahu siapa yang menyanyikannya.

    Sumber: Portal Berita RTM, Social Media + Society,

    4. Jangan sampai lagu dibuat untuk algoritma, bukan untuk pendengar

    Hook pendek, lirik yang mudah dijadikan caption dan koreografi ringkas memang mempunyai kelebihan dalam dunia short-form content.

    Tetapi kalau setiap karya mula dibina hanya berdasarkan soalan ‘bahagian mana boleh viral?’, muzik akhirnya berisiko menjadi terlalu seragam.

    Wani Kayrie memberikan contoh bagaimana elemen trendy masih boleh diseimbangkan dengan eksplorasi muzik. Untuk EP W2K, Wani sendiri menyifatkan projek itu sebagai relevan, trendy dan dekat dengan generasinya. Namun lima lagu dalam EP berkenaan mempunyai karakter yang berbeza, daripada Cak Cak Cekuk yang berunsurkan tradisional hinggalah karya lain dengan pendekatan berlainan.

    Cak Cak Cekuk pula mengambil inspirasi daripada lagu rakyat Cak Cekur Udang Gamit sebelum diberi susunan pop moden.

    Pendekatan itu menunjukkan trendy tidak semestinya bermaksud mengikut formula yang sama. Trend boleh menjadi sebahagian daripada pembungkusan, tetapi karya masih perlukan cerita, karakter dan tujuan sendiri.

    Sumber: Portal Berita RTM,

    5. Terlalu mengejar pendengar baharu boleh buat peminat lama rasa terpinggir

    Menarik pendengar baharu memang penting. Tetapi artis yang sudah mempunyai katalog dan fanbase juga berdepan cabaran lain, sejauh mana mereka boleh berubah tanpa membuatkan pendengar lama rasa kehilangan artis yang mereka kenali?

    Situasi itu dapat dilihat apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan Beraya Dengan Saya pada 2026. Menurut Malay Mail, lagu berkenaan menggabungkan pop tradisional dengan elemen moden tetapi menerima beberapa komen di TikTok daripada pendengar yang lebih menyukai lagu Raya lamanya. Siti sendiri kemudian memberi respons sambil mengingatkan peminat supaya terus mendengar katalog terdahulu jika mahu lagu-lagu tersebut kekal evergreen.

    Ini bukan bermaksud artis tidak boleh bereksperimen. Sebaliknya, ia menunjukkan setiap perubahan mempunyai expectation management tersendiri.

    Artis perlu mencari titik tengah antara memberi sesuatu yang baharu dan mengekalkan elemen yang menyebabkan peminat jatuh cinta dengan karya mereka sejak awal.

    Sumber: Malay Mail

    Ikut trend tak salah, tapi jangan sampai trend yang tentukan siapa kita

    Realitinya, artis hari ini memang tidak boleh mengabaikan TikTok dan media sosial. Data Luminate menunjukkan artis yang engagement TikToknya mempunyai kaitan kuat dengan muzik mereka turut mencatat pertumbuhan streaming lebih tinggi secara purata. Jadi menganggap trend langsung tidak penting juga tidak tepat.

    Namun contoh Aina Abdul, Mimi Fly, Wani Kayrie, De Fam, dan Datuk Seri Siti Nurhaliza menunjukkan ada satu persamaan yang lebih penting, masing-masing mempunyai karakter yang boleh dikenali di luar satu trend tertentu.

    Mungkin sebab itu soalan yang lebih tepat untuk artis bukan, ‘trend apa yang aku perlu ikut sekarang?’ tetapi, ‘macam mana aku boleh gunakan trend tanpa hilang apa yang membuatkan aku berbeza?’ Kerana FYP sentiasa berubah. Identiti artis yang kuat pula mempunyai peluang untuk bertahan lebih lama daripada trend itu sendiri.

    The post Artis Patut Ikut Trend Atau Cipta Trend Sendiri? 5 Risiko Bila Terlalu Mengejar Apa Yang Viral first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah