Barisan Nasional (BN) menggesa semua pihak agar tidak melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang menyatakan pendirian tidak mahu bekerjasama dengan DAP.
Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir berkata, pendirian Onn Hafiz itu lahir daripada perbezaan prinsip dan pertimbangan politik, dan bukannya atas sentimen perkauman.

"Beliau bukan jenis chauvinis, perkauman, apabila menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
“Isu ini bukan soal angkuh atau enggan berhubung dengan pihak yang berbeza pandangan politik. Sepanjang menerajui Johor, Onn Hafiz telah membuktikan bahawa beliau berkhidmat untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Konteks Landskap Politik Johor
Zambry turut mengingatkan bahawa Negeri Johor pada penggal lalu ditadbir oleh BN sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, pendirian politik yang dinyatakan oleh menteri besar perlu dilihat dalam konteks landskap politik negeri serta mandat yang diperjuangkan oleh BN Johor.
Dia menambah, Umno dan BN juga sering mendengar pelbagai kritikan, sindiran serta kecaman yang dilontarkan di pentas-pentas politik pihak lain, namun tidak menjadikannya sebagai isu besar atau menyerang mereka secara berlebihan.

"Apa yang lebih penting ialah komitmen semua pihak untuk memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan," katanya.
Zambry menyarankan agar semua pihak menghentikan polemik tersebut dan menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN), menawarkan idea terbaik kepada rakyat, serta memperkukuh pembangunan ekonomi Johor.
Ahad lalu, Onn Hafiz berkata, dia lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada terpaksa "duduk semeja" dengan DAP selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Susulan kenyataan itu, pelbagai pihak, khususnya pemimpin DAP menyelarnya dan menganggap kenyataan tersebut berbaur perkauman.





