ULASAN SUKAN | Selepas 104 perlawanan membabitkan 48 pasukan berlangsung, tirai Piala Dunia 2026 dilabuhkan dengan anggapan betapa kejohanan kali ini muncul antara edisi terbaik pernah disaksikan.
Pelbagai drama menarik, kejutan dan kontroversi serta juga ragam peminat yang penuh warna, termasuk penyokong di Malaysia, tetap meninggalkan memori bermakna.
Sesekali kedengaran suara-suara yang berkata, pentas kali ini agak membosankan. Ada pula menambah, ia bukan kualiti pada tahap tertinggi. Tapi, mereka tidak salah kerana ini semua andaian masing-masing.
Yang penting, bola sepak tetap menghiburkan tontonan global.
Ya. Sepanyol muncul juara dengan aksi memukau selepas menewaskan juara bertahan, Argentina 1-0 menerusi jaringan masa tambahan oleh Ferran Torres dalam final di Stadium MetLife, New York.

Lionel Messi dan rakan-rakan semacam hilang idea bagaimana mahu menyekat lawan yang lebih kerap menguasai bola. Ia membuat juara Copa Amerika gagal mengawal emosi sebagai pihak yang kalah.
Enam layangan kad kuning dan satu kad merah menceritakan skuad La Albiceleste tidak bermain bola sepak ‘mereka’ pada hari berkenaan.
Apa pun, selang sehari selepas gemilang dilakar Sepanyol, suasana bola sepak di England menjadi muram.
Hal itu bukan kerana skuad The Three Lions gagal layak ke final, tetapi diselubungi kesedihan apabila legenda tulen, Kevin Keegan, 75, meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser tahap keempat.
Menunggu detik 2030
Tokoh ikonik yang berpengaruh dan disayangi itu juga pernah mewakili skuad Harimau Malaysia sebagai pemain undangan FAM dalam Pestabola Merdeka pada 1984. Terima kasih King Kev!
Selepas tamat kejohanan Piala Dunia kali ini, rutin harian bagi peminat di Malaysia kembali seperti biasa. Tiada lagi perlawanan jam 3 pagi untuk bersengkang mata, sebaliknya bangun pada pagi macam biasa, galas beg komputer riba dan pergi ke pejabat untuk menyambung tugasan masing-masing.
Akan ada rasa kekosongan dalam beberapa hari tanpa aksi Piala Dunia. Tiada lagi ramalan keputusan perlawanan. Tiada lagi sembang-sembang bola pada setiap pagi.
Tidak dapat ditolak hakikat betapa selama lebih sebulan – sejak 12 Jun lalu – ramai antara kita yang kekurangan waktu tidur. Di sebalik semua itu juga ada gurauan dan usikan antara peminat, malah untuk kes yang ekstrem, ia melibatkan pergaduhan atau bermasam muka.
Ringkasnya, Piala Dunia edisi ke-23 itu mencipta ‘bahasa’ yang difahami oleh semua anak bangsa manusia selama 39 hari.
Untuk menikmati semula kehangatan pesta itu, peminat terpaksa menunggu empat tahun lagi sebelum Sepanyol, Portugal dan Maghribi menjadi tuan rumah bersama pada 2030.
Jika ada yang bercita-cita mahu menyaksikan sendiri perlawanan tahap tertinggi itu nanti, bolehlah mula menyimpan wang mulai sekarang.
Untuk Piala Dunia yang berakhir 19 Julai lalu, pengalaan tersebut membawa makna berbeza bagi penyokong Argentina dan Sepanyol.

Tapi, biarlah peranang psikologi dan ‘bermusuhan’ itu berakhir di sini saja. Pada akhirnya bola sepak jugalah yang menang.
Final kali ini juga mengingatkan saya kepada kehadiran di bumi Afrika Selatan kira-kira 16 tahun lalu. Saya pergi bukan untuk menjadi penonton tapi melunaskan tugasan untuk membuat liputan bagi pihak penaja yang mengundang sekumpulan wartawan sebagai saksi Piala Dunia 2010.
Mereka tidak pun meminta laporan harian tetapi memadai untuk membuat satu atau dua siri, atau pun rencana khas secara mendalam mengenai acara disertai dan juga aksi final apabila pulang ke tanah air nanti.
Kemenangan waktu tambahan
Sudah tentu wujud perasaan bangga kerana bukannya mudah mahu menonton perlawanan akhir Piala Dunia di depan mata. Anda adalah salah seorang daripada puluhan ribu penonton yang dapat masuk ke stadium bagi aksi bersejarah .
Ia mungkin sekali dalam seumur hidup dan saya anggap saat itu sebagai rezeki yang harus dihargai selama-lamanya.
Perlawanan akhir di antara Sepanyol dan Belanda di Stadium Soccer City di Johannesburg pada 11 Julai 2010 itu berlangsung dalam cuacanya agak sejuk. Tambahan pula ia berlangsung pada sebelah malam.
Sepanyol menang 1-0 hasil jaringan tunggal Andres Iniesta dalam permainan masa tambahan. Anehnya, bagi edisi 2026, anak didik Luis de La Fuente juga menang dengan jaringan yang sama semasa masa tambahan.
Selepas 16 tahun, saya masih dapat melihat DNA hampir sama milik La Roja.
Sepanyol pimpinan kapten pasukan, Rodri, pasti mahu mencari kejuaraan di benua Eropah pula. Realiti itu tetap wujud apabila mereka menjadi tuan rumah bersama dalam tempoh empat tahun lagi.
Ketika ini pasukan juara baru itu berpesta di bumi sendiri yang dilaporkan dibanjiri lebih sejuta penyokong. Mereka yang berpakaian serba merah hadir untuk berkongsi detik bersejarah di Madrid.

Antara tajuk utama akhbar cetak adalah “Congratulations Spain!”, “Two-time champions!”, dan I”nvincible Spain”. Segala-galanya menjurus kepada barisan yang kini bergelar raja baru bola sepak dunia.
Pemain berhak menikmati kejuaraan itu dengan corak permainan padu. Persiapan mereka hadir dengan formula kejayaan itu bukan dibuat tiga minggu sebelum kejohanan tapi kegigihan latihan yang sudah berlangsung bertahun-tahun lamanya.
Selepas ini akan ada dua bintang tertera dijersi mereka sebagai pemenang Piala Dunia dua kali.
Sementara itu, seorang lagi legenda, Kylian Mbappe, tidak pulang sepi. Di sebalik kegagalan mengemudi Perancis memburu kejuaraan kali kedua selepas 2018, kapten berusia 27 tahun itu mendapat sedikit penawar duka.

Keringatnya berbaloi apabila muncul penjaring terbanyak dengan 10 gol bagi edisi kali ini. Dia juga ditabal peledak gawang terbaik kejohanan setakat ini dengan keseluruhan 22 gol peribadi, kelebihan satu jaringan di hadapan Messi yang dikhabarkan bakal bersara di pentas antarabangsa.
Hati pemain dan pegawai skuad England pula masih terluka gara-gara terlepas peluang terbaik ke perlawanan akhir.
Namun, kemenangan 6-4 ke atas Perancis dalam saingan merebut pingat gangsa memberikan bayangan skuad The Three Lions itu ada kualiti dan merapatkan jurang dengan pasukan elit dunia seperti Argentina, Perancis atau pun juara baru Sepanyol.
Harry ‘King’ Kane dan rakan-rakan boleh menghala kepada Euro 2028 untuk menebus detik kecewa. Apa lagi dengan status mereka selaku tuan rumah bersama kejohanan benua itu bersama Scotland, Wales dan Republik Irealand nanti.
Jelas, suka duka bola sepak akan sentiasa ada hikmahnya.
V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita luar negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





