ULASAN SUKAN | Pencapaian kontinjen Malaysia di temasya Sukan Komanwel 2026 macam lebih terarah kepada cerita kualiti berbanding kuantiti.
Hal ini kerana, kita cuma menghantar 59 atlet, termasuk 22 atlet para, bagi edisi kali ini yang berakhir di Glasgow, Scotland Ahad lalu.
Syabas kepada atlet kita yang berjaya membawa pulang lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa. Keringat itu juga menyaksikan kontinjen kita tergolong dalam kelompok 10 teratas secara keseluruhan.
Kini misi yang harus digalas dengan lebih mantap lagi ialah menjelang cabaran Sukan Komanwel 2030 di Ahmedabad, India.
Untuk mengimbas kembali pencapaian empat tahun lalu, Malaysia menghantar 105 atlet untuk bersaing dalam 15 jenis sukan dan 96 acara di Birmingham. Habuannya, kita membawa pulang tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa.
Bagi komuniti sukan negara, hasil dituai di Glasgow sepanjang tempoh 11 hari kejohanan membabitkan 10 acara sukan harus menceriakan mereka.
Nada suara pegawai atasan juga nampak lebih lancar tanda lega. Masakan tidak. Ini kerana kontinjen sudah melepasi sasaran awal, iaitu memburu lima emas.
Tapi, jangan sampai terleka pula. Pencapaian pingat juga ada kaitan dengan pelaburan besar oleh pihak kerajaan bagi memastikan kita berjaya dan berbaloi.
Ini juga wang rakyat, khasnya pembayar cukai. Jadi, komitmen dan momentum baik seperti ini harus ada kesinambungan.
Suntikan semangat baru
Andai atlet mahu membuktikan lagi nilai kualiti masing-masing, gelanggang seterusnya ialah Sukan Asia di Aichi-Nagoya di Jepun pada 19 Sept sehingga 4 Okt nanti.
Tapi kita kena ingat, cabaran di peringkat benua agak berbeza. Tidak semestinya setiap pemenang pingat emas di Sukan Komanwel juga dapat muncul juara.
Apa yang kita minta ialah atlet berkenaan – jika terpilih – memberikan sekali lagi komitmen dan disiplin sama dengan pencapaian terpuji.
Baik. Kita kembali kepada perbualan asal tadi.
Apakah kita mampu ‘mempertahankan kualiti sama’ apabila menyahut cabaran pada Sukan Komanwel 2030.
By right we should jika mahu membuktikan aksi konsisten di Scotland bukan atas faktor nasib semata-mata.

Barisan yang memenangi pingat kali ini juga membabitkan ramai atlet muda, justeru mereka perlu digilap dengan lebih serius bagi mempertahankan gelaran bagi edisi berikutnya.
Buat permulaan, ganjaran secara keseluruhan berjumlah RM1.1 juta juga sudah terjamin bagi semua 19 pemenang pingat menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan. Ini untuk menyuntik semangat baru.
Legenda basikal trek negara, Azizulhasni Awang, yang menamatkan penantian 16 tahun untuk memenangi emas acara keirin adalah antara yang bakal menerima imbuhan RM80,000.
Juara lain dalam kelompok sama itu ialah Amir Daniel Abdul Majeed yang mencipta sejarah dengan sumbangan emas pertama dalam acara judo.

Begitu juga atlet angkat berat – Aniq Kasdan, Azniul Bidin, Hafizuddin Roslin, Syahmi Nor Ghazali dan Erry Hidayat – bersama Abdul Latif Romly (olahraga para) yang mencipta saat gemilang untuk negara.
Pemenang perak akan menerima RM40,000 manakala gangsa memperoleh RM20,000.
Sebenarnya kita ada bakat dan kekuatan tersendiri untuk menyerlah dalam Sukan Komanwel. Atlet kita pun tidak terasa tekanan lebihan. Mereka nampak macam tidak takut lagi berdepan pihak lawan.
Contohnya, Amir Daniel dalam acara judo. Anak jati Pulau Pinang yang berusia 21 tahun itu tampil di gelanggang dengan penuh yakin sepanjang saingan sebelum menewaskan peserta Afrika Selatan, Timoty Meuwwen.
Harus lebih lagi di India
Dia hanya berada dalam ranking ke-117 dunia berbanding lawannya di tangga ke-41. Amir Daniel jelas berjuang dengan kualiti tersendiri sebelum melengkapkan emas kelapan buat negara pada aksi final di Scottish Event Campus pada 1 Ogos lalu.
Penuntut Universiti Sains Malaysia itu dilihat akan bertambah matang dan harus menjadi antara pertaruhan terbaik untuk negara bagi Sukan Komanwel 2030.
Tuan rumah, India, dikhabarkan akan menyelitkan antara 15 sehingga 17 acara di Ahmedabad nanti. Ia termasuk badminton dan skuasy. Sudah pasti acara tradisi mereka seperti hoki lelaki dan wanita serta kriket juga bakal diselitkan bagi tujuan buruan emas selaku tuan rumah.
Acara sukan disebut tadi juga boleh menjadi lubuk emas bagi kontinjen negara, khasnya skuasy dan badminton.
Andai semua atlet negara yang meraih emas di Glasgow masih aktif dan berjaya mempertahankan gelaran masing-masing, kita harus menambahkan lagi pungutan emas di India.

Oh ya. Azizulhasni pula tidak akan beraksi lagi. Dia sudah pun mengumumkan Sukan Komanwel di Glasgow adalah penyertaan kali terakhirnya.
The Pocket Rocketman itu menamatkan penantian 16 tahun selepas mengungguli acara keirin dengan titisan air mata di Velodrom Sir Chris Hoy pada 31 Julai lalu.
Wajahnya pada hari berkenaan cukup menarik tumpuan. Seluruh negara rasa terharu di atas kejayaan amat bermakna bagi dirinya itu. Penulis tidak pernah melihat dia menangis sebegitu selepas menyambut kemenangan di garisan penamat.

Itulah apa yang kita sebut kemampuan seorang ikon sukan yang tidak pernah mengenal erti pengorbanan dan penat lelah di medan pertarungan walaupun sudah berusia 38 tahun.
Harap atlet muda negara tanpa mengira dari cabang mana sukan yang mereka wakili perlu ada dedikasi dan minat sama seperti Azizulhasni jika mahu meniti detik kemasyhuran.
Untuk infomasi anda, kontinjen Malaysia meraih 12 emas pada Sukan Komanwel di New Delhi pada 2010. Ini adalah pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan kita.
Kebetulan, atlet negara akan kembali ke India sekali lagi selepas 20 tahun. Apakah, kontinjen kita mampu memecahkan rekod itu di negara yang sama?
Sejak mula menyertai temasya ini pada 1950, kontinjen negara berjaya mengutip keseluruhan 74 emas setakat ini.
Ayuh! Persiapan kontinjen negara untuk menyambung buruan kilauan emas harus bermula lebih agresif mulai sekarang. Lagi pun tempoh empat tahun lagi akan hadir dengan pantas.
V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita luar negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





