Kerajaan dilapor merancang untuk mengurangkan kelayakan bulanan standard bagi petrol RON95 bersubsidi di bawah program Budi95, selepas harga bahan api tanpa subsidi melonjak lagi susulan peranang di Iran yang berterusan.
The Edge yang memetik sumber berkata, bahawa kuota 300 liter sekarang akan dikurangkan kepada 200 liter sebulan, dengan pengumuman kemungkinan dibuat seawal minggu ini.
Kuota baharu bagi bahan api bersubsidi itu, yang berharga RM1.99 seliter, dijangka berkuat kuasa bermula April.
Katanya, sebaik sahaja had 200 liter itu digunakan, pengguna akan tertakluk kepada harga apungan yang ditentukan pasaran. Kadar itu bakal melonjak sebanyak 60 sen seliter kepada RM3.87 bermula Khamis (26 Mac hingga 1 April), meningkat daripada RM3.27 sekarang.
RON95 tanpa subsidi dinaikkan dua kali sejak 11 Mac lalu, dengan kenaikan kumulatif RM1.20 atau 44.94 peratus.daripada RM2.67.
Menjelang Khamis, harga runcit bagi RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia mencatatkan kenaikan harga mendadak selama tiga minggu berturut-turut. Harga pam bagi RON97 bakal melonjak kepada RM5.15 seliter — menandakan jumlah peningkatan sebanyak RM1.90 atau 58.46 peratus sejak 11 Mac, ketika ia didagangkan pada harga RM3.25 — manakala diesel di Semenanjung akan dinaikkan kepada RM5.52, mewakili peningkatan sebanyak RM2.40 atau 76.92 peratus dalam tempoh yang sama, daripada RM3.12.
Minyak mentah Brent, yang melonjak kepada hampir AS$120 setong lebih dua minggu lalu pada 9 Mac, hari ini menyusut kepada AS$94.49 setong. Kenaikan iru lebih 33 peratus daripada harga AS$70.84 pada 26 Februari lalu, sebelum peranang meletus.





