Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menjejaskan momentum sokongan rakyat yang diperoleh BN pada dua pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii.
Razlan berkata rakyat mampu menilai dan memahami isu yang berlaku adalah “permainan politik” dan mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
"Rakyat hari ini lebih bijak mencari maklumat di luar sana, rakyat hari ini lebih bijak melihat situasi semasa.
"Rakyat hari ini melihat kepada kos sara hidup mereka, rakyat hari ini melihat bagaimana formula (subsidi) Budi diuruskan, bagaimana mereka mencari rezeki setiap hari. Itu rakyat hari ini.
"Saya berterima kasih kepada rakyat kerana menolak perkara ini dan bagi saya mereka sudah tahu ini permainan politik," katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam Sehimpun Sehaluan di Sungai Besar, malam tadi.
Pada 27 Ogos lalu, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan masing-masing direman tujuh hari bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.
Peguam yang mewakili kedua-dua individu berkenaan berkata mereka disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Razlan turut mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Amiruddin Shari yang meminta Umno-BN supaya ikhlas dalam kerjasama.
Razlan menegaskan BN ikhlas dalam menjalinkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan dan mempertahankannya sampai hari ini.
"Sehingga hari ini pun kami ikhlas bersama kerajaan perpaduan sehingga habis penggal walaupun ada desakan untuk kami tarik sokongan, kami tak buat.
"(PH) perlu tanya rakan mereka DAP yang sering mengungut perdana menteri. Kononnya nakkan reformasi...yang menebuk kapal mereka adalah orang mereka sendiri. Jangalah cakap kami tak ikhlas," katanya.
Razlan berkata, BN dan PH tidak mempunyai perjanjian untuk terus kekal bersama selamanya.
Semalam, Amirudin menekankan sebarang kerjasama politik perlu berpaksikan keikhlasan, tanpa meletakkan prasyarat awal yang boleh mengekang proses perbincangan.
Menteri Besar Selangor itu memberikan contoh semangat kerjasama PH di Selangor pada PRN lalu yang bersedia menyerahkan kerusi dimenangi mereka kepada BN demi menjayakan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Kita ikhlas berbincang ketika PRN dan harap ada keikhlasanlah ketika kita berbincang di tempat lain. Jangan sebelum berbincang telah meletakkan syarat," katanya.





