Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung beberapa kenyataan yang didakwa berunsur fitnah ketika ceramah politik di Pahang pada 14 Jun lalu.
Peguam Anwar, Sankara Nair berkata surat tuntutan dihantar melalui e-mel kepada Tuan Ibrahim pada jam 6 petang hari ini, dengan ahli parlimen Kubang Kerian itu diberikan tempoh 48 jam untuk memberikan maklum balas.
“Surat tuntutan itu antara lain menghendaki kenyataan yang dipertikaikan ditarik balik serta-merta, permohonan maaf terbuka tanpa syarat, aku janji untuk tidak mengulangi dakwaan itu serta pembayaran ganti rugi dan kos guaman.
“Penerima diberikan tempoh 48 jam untuk memberikan maklum balas. Jika gagal, kami diarahkan memulakan prosiding undang-undang tanpa sebarang notis lanjut,” katanya pada kenyataan.
Kenyataan itu tidak menyatakan jumlah ganti rugi yang dituntut.
Sankara berkata surat berkenaan dikeluarkan atas arahan perdana menteri berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan kemudian disiarkan semula di media sosial.
Ketika dihubungi, Sankara berkata kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu termasuk tuduhan bahawa Anwar hilang kawalan terhadap rakan politiknya; mencampuri urusan pewarisan takhta diraja Negeri Sembilan; menggunakan polis terhadap pengkritik kerajaan; serta mengetuai pentadbiran yang dibelenggu krisis, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Tuan Ibrahim didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah itu ketika ceramah PAS di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, pada 14 Jun.
Sebahagian ucapannya dimuat naik di halaman Facebook dan saluran YouTube Tuan Ibrahim pada keesokan harinya.
[Baca berita asal]





