PN sekali lagi mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana didakwa cuba menjadikan kedudukannya sebagai perisai daripada tindakan undang-undang dengan memohon kekebalan bersyarat dalam saman yang difailkan terhadapnya.
PN berpandangan Anwar tidak akan berjaya dalam permohonan tersebut, sambil merujuk kepada usaha serupa yang pernah dilakukan oleh bekas perdana menteri Najib Razak ketika disaman atas dakwaan salah guna kuasa dalam kes 1MDB.
Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata Mahkamah Persekutuan pada 2019 memutuskan bahawa seorang perdana menteri adalah pegawai awam dan boleh disaman.
“Kes ini menetapkan duluan (penting bahawa seorang Perdana Menteri tidak kebal daripada sesuatu tindakan sivil atau tort jika berkaitan penyalahgunaan kuasa awam, apatah lagi tindakan yang bersifat peribadi.
"Dengan kata lain, tiada seorang pun warganegara, termasuk Perdana Menteri, harus berada di atas undang-undang dan tiada sebarang kedudukan boleh digunakan sebagai perisai undang-undang untuk tindakan peribadi,” kata Takiyuddin dalam kenyataan hari ini.
Pada 19 November 2019, panel enam hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa seorang Perdana Menteri dan menteri kabinet lain boleh disaman atas kesalahan misfeasans dalam jawatan awam.
Keputusan itu dibuat untuk membenarkan rayuan oleh Ahli Parlimen Damansara ketika itu, Tony Pua dalam saman misfeasans yang difailkannya terhadap Najib dan kerajaan berhubung 1MDB.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata PN yakin bahawa sistem kehakiman akan bertindak secara bebas dalam memutuskan permohonan Anwar.
Kenyataan mengelirukan
Bekas Menteri Undang-Undang itu turut mengkritik setiausaha politik kanan Anwar, Shamsul Iskandar Akin yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung kes tersebut.
Shamsul sebelum ini menafikan bahawa Anwar memohon kekebalan mutlak.
“PN melihat kenyataan tersebut agak mengelirukan dan menyimpang kerana ternyata salah satu isu utama dalam permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut adalah mengenai kekebalan,” katanya lagi.
Anwar sebelum ini memfailkan permohonan di mahkamah untuk merujuk lapan persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada dia memiliki kekebalan daripada prosiding sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Yusoff Rawther.