Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali mengingatkan para pemimpin dan ahli parti itu di semua peringkat agar tidak terlibat dengan mana-mana individu yang telah dikenakan tindakan disiplin oleh lembaga disiplin parti.
Dalam satu surat pekeliling kepada ketua negeri dan ketua bahagian hari ini, Azmin mengingatkan tindakan sedemikian dianggap pelanggaran serius terhadap perlembagaan dan kod etika parti.
“Badan pimpinan negeri, pimpinan dan ahli-ahli Bersatu di peringkat bahagian, cawangan dan sayap-sayap diberikan peringatan untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan dan perbincangan dengan mana-mana pihak dan individu yang telah dijatuhkan hukuman oleh lembaga disiplin parti,” katanya.
Malaysiakini telah melihat dokumen dalaman itu dan seorang ketua bahagian Bersatu turut mengesahkan menerimanya.
Azmin menegaskan ahli parti terikat dengan Fasal 9.1 Perlembagaan Bersatu, yang memperincikan tanggungjawab setiap ahli untuk mendukung matlamat parti dan melaksanakan dasar-dasarnya.
Katanya lagi, Fasal 9.1.4 secara khusus mewajibkan ahli untuk mematuhi perlembagaan parti serta peraturan kod etika dan tatakelakuan ahli parti.
“Mereka yang telah dijatuhkan hukuman sewajarnya menggunakan peruntukan selaras dengan Fasal 22.6 Perlembagaan Parti untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dan tidak bertindak di luar batas-batas Perlembagaan Parti.
“Adalah menjadi satu kesalahan jika mana-mana ahli parti bersubahat dengan pihak di luar parti, termasuk mereka yang telah dijatuhkan hukuman oleh parti, untuk menghasut ahli-ahli parti dan membuat kenyataan yang mencemar nama baik dan maruah parti,” katanya lagi.
Tindakan terhadap Wan Saiful, Wan Fayhsal
Pada 14 Oktober lalu, Bersatu telah memecat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Wan Saiful Wan Jan, serta empat ketua bahagian parti.
Parti itu turut menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selama satu penggal.
Walaupun lembaga disiplin tidak menjelaskan secara terperinci kesalahan mereka, difahamkan bahawa pemecatan Wan Saiful dan empat ketua bahagian itu berkait dengan cubaan mendesak Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyerahkan kepimpinan parti kepada timbalannya, Hamzah Zainudin.
Dalam surat itu, Azmin turut memberi peringatan bahawa ahli yang bersekongkol atau menyokong individu yang dikenakan tindakan disiplin akan dianggap melanggar perlembagaan parti dan tatakelakuan ahli.
Dia turut mengarahkan kepimpinan negeri untuk memantau dan mengingatkan semua ahli agar mematuhi peraturan parti.
“Sebarang kesalahan dan salah laku atau pelanggaran peruntukan Perlembagaan Parti oleh mana-mana ahli Bersatu akan diambil tindakan yang tegas seperti yang termaktub dalam Fasal 22.5 Perlembagaan Parti,” katanya lagi, sambil menyeru semua ahli untuk menjunjung perlembagaan Bersatu dan “mencintai parti sebagai wahana yang inklusif dan progresif” demi masa depan negara.





