Seorang pengawal keselamatan sebuah pusat hiburan patah bahagian pinggulnya akibat dilanggar kereta ketika cuba meleraikan pergaduhan di Bandar Botanik, Klang awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Foong berkata dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, lelaki tempatan berusia 33 tahun berkenaan merupakan seorang daripada beberapa pengawal keselamatan yang cuba meleraikan pergaduhan antara pelanggan sebelum seorang suspek bertindak melanggar mangsa.
"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang.
“Selain patah tulang pinggul kanan, mangsa juga mengalami luka di bahagian perut namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan di Shah Alam hari ini.
Dia berkata punca pergaduhan masih disiasat. Pada masa sama, katanya, polis sudah menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun kira-kira 3.30 petang tadi untuk membantu siasatan.
Kata Cha, semakan menunjukkan suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan satu rekod kesalahan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan 148 Kanun Keseksaan,” katannya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan pergaduhan di antara beberapa pihak dengan keadaan memuncak apabila seorang individu dilanggar sebuah kereta.





