32.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 7, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Penasihat ekonomi PMO gesa rakyat berbelanja cara berhemah

    Shopee Sale

    Pakar ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengesyorkan rakyat mengamalkan tabiat kepenggunaan yang lebih bertanggungjawab ketika konflik di Asia Barat, yang mencetuskan kebimbangan terhadap krisis ekonomi global, memasuki hari ke-100 hari ini.

    Pengarah kanan ekonomi dan kewangan PMO Nurhisham Hussein menjelaskan kerajaan tidak menggesa perubahan gaya hidup secara “drastik”, sebaliknya menggalakkan penyesuaian yang lebih praktikal.

    “Kerajaan tidak meminta rakyat Malaysia berhenti memandu, membatalkan rancangan percutian atau mengelakkan sepenuhnya penggunaan produk plastik.

    “Sebaliknya, mesejnya ialah supaya kita lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam cara kita menggunakan serta memanfaatkan sumber,” kata Nurhisham kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai nasihat Putrajaya tentang langkah yang perlu diambil orang ramai bagi menghadapi krisis yang semakin hampir itu.

    Menegaskan Malaysia pernah mengharungi pelbagai cabaran global sebelum ini, dia berkata negara berada pada kedudukan paling kukuh apabila kerajaan, perniagaan dan rakyat bertindak balas secara tenang, bertanggungjawab dan bersama-sama.

    “Matlamatnya bukan perubahan gaya hidup secara drastik, tetapi kepenggunaan yang lebih bijak dan bertanggungjawab, maka penyesuaian kecil yang dibuat oleh jutaan isi rumah secara kolektif boleh mengukuhkan daya tahan Malaysia ketika berdepan ketidaktentuan global,” jelasnya.

    Bulan lalu, Nurhisham melahirkan kebimbangan bahawa orang ramai tidak memberi respons yang cukup serius terhadap krisis ekonomi yang bakal berlaku susulan konflik di Asia Barat, sambil membandingkan keadaan semasa dengan situasi Malaysia sebelum pandemik Covid-19 melanda.

    Antara lain, dia memberi amaran bekalan minyak tempatan mungkin tidak kembali normal sehingga lewat tahun ini atau bahkan 2027, walaupun peranang itu berakhir dalam masa terdekat.

    Dia juga mengingatkan kadar pekerjaan boleh terjejas sekiranya pengeluar terpaksa menghentikan operasi apabila bekalan bahan mentah mereka habis.

    Bagaimanapun, beberapa pakar memberitahu Malaysiakini bahawa reaksi orang ramai sebahagiannya berpunca daripada cara kerajaan menyampaikan mesej mengenai krisis tersebut, dengan ada yang menegaskan wujudnya “isyarat bercampur-campur” mengenai keadaan sebenar.

    MENARIK:  4 polis dilepaskan dengan jaminan SPRM kes rasuah RM12,000

    Tidak perlu pembelian panik

    Dalam jawapannya kepada pertanyaan Malaysiakini, Nurhisham menegaskan walaupun gangguan tertentu dalam rantaian bekalan global boleh menjejaskan kos bahan berasaskan petroleum dan barangan import dari semasa ke semasa, tiada keperluan untuk mengubah gaya hidup secara ekstrem atau melakukan pembelian panik.

    Katanya, isi rumah boleh meneruskan rutin harian sambil membuat penyesuaian pragmatik bagi mengukuhkan daya tahan kewangan serta mengurangkan pendedahan kepada gangguan harga atau bekalan yang berlaku secara mengejut.

    Antara “amalan praktikal” yang disarankan Nurhisham ialah membeli berdasarkan keperluan sebenar sambil mengelakkan pembelian berlebihan atau penyimpanan stok yang tidak perlu.

    Dia juga menasihatkan supaya mengurangkan pembaziran - khususnya makanan, elektrik dan air - bagi membantu menurunkan perbelanjaan isi rumah serta mengurangkan tekanan terhadap sumber negara.

    Selain merancang perbelanjaan isi rumah dengan lebih teliti dan mengutamakan keperluan asas apabila sesuai, dia turut mencadangkan penggunaan tenaga secara lebih cekap seperti menetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius atau lebih tinggi, mematikan peralatan yang tidak digunakan dan mengelakkan penggunaan tenaga yang tidak perlu.

    Sambil menggalakkan pengguna menyokong produk dan perniagaan tempatan bagi mengukuhkan rantaian bekalan domestik serta ekonomi secara keseluruhan, dia turut menggesa orang ramai merujuk sumber maklumat rasmi dan disahkan, bukannya bergantung kepada dakwaan spekulatif di internet.

    “Kerajaan terus memantau perkembangan global dengan rapat dan telah mengaktifkan pelbagai langkah penstabilan serta persediaan bagi membantu mengurus tekanan luaran yang melibatkan pasaran tenaga, laluan perkapalan dan rantaian bekalan global.

    “Bersama tindakan yang diselaraskan antara perniagaan dan rakyat, kami yakin negara akan muncul lebih kukuh berbanding sebelum ini,” tambah Nurhisham.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah