PALIMEN l Kerajaan memperkukuh kerjasama rentas agensi menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole-of-government bagi membendung penularan ajaran sesat yang semakin banyak disebarkan melalui platform digital dan rentas sempadan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) sentiasa proaktif, konsisten dan tegas memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana doktrin atau dakyah yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dia berkata cabaran penguatkuasaan kini semakin kompleks apabila penyebaran ajaran sesat beralih daripada pertemuan fizikal secara rahsia kepada penggunaan media sosial dan aplikasi pesanan, selain berselindung di sebalik program pembangunan kendiri, aktiviti kebajikan, rawatan alternatif serta pengajian agama tidak formal.
“Malah, sebahagian fahaman itu disampaikan melalui elemen motivasi, kerohanian, psikologi, teori konspirasi dan pengaruh tokoh tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Dia menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) yang ingin mengetahui langkah kerajaan menangani penularan ajaran sesat di Malaysia, tangkapan yang dibuat dan langkah intervensi mengukuhkan akidah kumpulan yang jauh menyeleweng.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata hasil kerjasama bersepadu melibatkan Jakim, Jain, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Imigresen serta Jabatan Pendaftaran Negara, beberapa tindakan penguatkuasaan berjaya dilaksanakan.
“Antaranya, tangkapan terhadap 288 jemaah Ahmadiyah Qadiani di Sabah pada 31 Mei lepas serta serbuan ke atas sebuah markas Syiah di Petaling Jaya, Selangor yang membawa kepada penahanan 226 warga asing,” katanya.
Dia berkata kerajaan turut melaksanakan pelbagai langkah intervensi seperti khidmat nasihat berfokus kepada ahli dan pemimpin kumpulan terbabit, penempatan individu ke Pusat Pemulihan Akidah berdasarkan perintah Mahkamah Syariah serta program rehabilitasi dan bimbingan akidah di bawah pihak berkuasa agama.
Menjawab soalan tambahan mengenai usaha memperkukuh akidah golongan belia, Zulkifli berkata kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Menangani Ancaman Akidah Peringkat Kebangsaan yang melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Dalam Negeri, Jakim dan beberapa agensi lain.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah program oleh Institut Pemantapan dan Perkaderan Akidah Malaysia, Program My Insaniah, Program Rakan Masjid dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, selain memperkukuh silibus Kafa 2.0 bagi meningkatkan jati diri dan ketahanan akidah generasi muda.





